PAS santuni masyarakat Tionghua sempena Pesta Kuih Bulan

Dr Halimah ketika mengagihkan kuih bulan kepada wakil China Press di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: PAS Pusat hari ini melakukan kelainan dalam menyantuni masyarakat Tionghua sempena kemuncak Pesta Kuih Bulan atau Festival Mooncake dengan mengagihkan kuih bulan yang dihasilkan sendiri oleh parti tersebut.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Hajah Halimah Ali berkata, program menyantuni masyarakat Tionghua ini bertujuan untuk meraikan kebersamaan masyarakat berkenaan demi menunjukkan kesatuan hati dalam meraikan sambutan perayaan kedua terbesar mereka selepas Tahun Baru Cina.  

- Advertisement -

Menurutnya, PAS mahu menyemarakkan slogan ‘PAS for all’ yang membawa maksud PAS untuk semua, yang menunjukkan bahawa parti ini sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan segenap lapisan masyarakat majmuk di Malaysia termasuk masyarakat Tionghua.

“Pada hari ini kita mengagihkan kuih bulan kepada pelbagai media seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh (Sin Chew Daily), Star Media Group Berhad dan China Press. Antara matlamat kita kepada kaum Tionghua agar mereka dapat mengetahui perkembangan daripada PAS dan menunjukkan kita bukan sekadar ‘pandai bercakap’ tetapi menjalankan tanggungjawab terutamanya meletakkan keutamaan kepada rakyat,” ujar beliau kepada HarakahDaily.

Dr Halimah hadir ke pejabat Nanyang Siang Pau Sdn Bhd. di Petaling Jaya, Selangor hari ini bagi mengagihkan kuih bulan.

Menurutnya, pemberian kuih bulan ini terbukti telah berjaya mengambil hati masyarakat Tionghua, sehingga media-media dan akhbar tempatan Cina tempatan dapat merasa sendiri keenakan kuih bulan ini, dan melihat proses penghasilan kuih bulan ini  secara ‘homemade’ oleh Hajah Pujiah Bahrain yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Lajnah Perpaduan Kapar.

“Ini membuktikan ‘PAS  for all’ yang meraikan semua kaum dengan mengkaji tradisi dan budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sehingga kita berusaha untuk mengenal kuih tradisi masyarakat Cina seperti kuih bulan ini yang telah kita buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga ia berjaya dihasilkan.

“Alhamdulillah, kita lihat, masyarakat Tionghua begitu gembira dan teruja dengan sumbangan ini sekaligus menunjukkan bukti bahawa kita begitu serius ingin memahami adat resam dan budaya mereka,” katanya lagi. 

Wakil daripada Star Media Group menerima kuih bulan yang diagihkan oleh Dr Halimah di Damansara hari ini.

Di samping itu, kata beliau, PAS  telah memberikan satu kad dengan mesej ringkas iaitu  menjemput semua kaum di negara ini untuk hidup secara harmoni, selari dengan slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Selain itu juga katanya, kelainan yang ditonjolkan ini membuktikan bahawa PAS menghargai masyarakat Tionghua dan mengakui kebudayaan mereka. 

“Ini merupakan salah satu cara untuk  menjalinkan kemesraan dan bagi menghidupkan Keluarga Malaysia. Ini juga buat julung-julung kali kita mengagihkan kuih bulan yang dihasilkan sendiri oleh parti bulan (PAS) kepada pihak media berkenaan,” ujarnya.

Dr Halimah bersama wakil Sin Chew Daily ketika hadir di Petaling Jaya bagi mengagihkan kuih bulan pada hari ini.

Dalam pada itu menurutnya lagi, semalam, Pujiah telah menghantar sebanyak 1,000 biji kuih bulan ke negeri Kelantan khususnya di Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan untuk diagihkan kepada masyarakat Tionghua di Kelantan.

“Selain itu, PAS juga telah mengarahkan semua pimpinan agar dapat mengambil peluang ini dengan mengagihkan kuih bulan kepada masyarakat Tionghua di semua negeri bagi menyantuni mereka,” katanya.-HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -