Proses pelantikan Perdana Menteri ke-9 ikut Perlembagaan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet beliau yang menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pada 16 Ogos lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Baginda, negara sekali lagi menyaksikan perletakan jawatan Perdana Menteri.

- Advertisement -

Baginda bertitah, seperti yang berlaku pada tahun 2020 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri ke-9 telah dilaksanakan berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen, beta telah memberi peluang kepada semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan, seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Menerusi surat akuan tersebut, beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera, pada 19 Ogos lalu, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 di Parlimen, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Baginda berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta tanpa sebarang paksaan dan jumlah itu adalah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(A) dan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, beta berkenan melantik Yang Amat Berhormat Ismail Sabri Yaakob, senbagai Perdana Menteri ke-9,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -