Maritim siasat sindiket jual lesen bot

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan akan menyiasat mengenai kemungkinan wujud sindiket pemalsuan dokumen di mana pemilik bot menjual lesen bot kepada nelayan asing.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pasukan Penyiasat Khas akan ditubuhkan bagi tujuan itu.

Katanya siasatan terbabit mendapat kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Putrajaya serta agensi-agensi berkaitan bagi membongkar dan membanteras kegiatan tersebut.

“Sekiranya mendapat bukti kukuh kita akan dakwa syarikat atau individu berkenaan ke muka pengadilan kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu telah merosakkan ekosistem perikanan negara,” katanya kepada pemberita sempena penahanan sebuah bot Vietnam yang menyamar sebagai bot tempatan di Pejabat APMM, Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal melalui pangkalan data Jabatan Perikanan memaparkan rekod struktur fizikal asal bot berbeza daripada bot yang ditahan, manakala zon kebenaran penangkapan ikan adalah Zon B berbanding bot yang ditahan memaparkan lesen zon penangkapan ikan di Zon C2.

Kata beliau, pihaknya percaya terdapat banyak bot terbabit tidak mendaratkan ikan di mana-mana jeti perikanan di negara ini berdasarkan sejarah trip perjalanan bot menuju ke negara Vietnam.

Manakala mengenai penahanan bot nelayan asing beliau berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah bot bersama 8 awak-awak yang berumur 23 hingga 46 tahun di kedudukan 45 batu nautika daripada Muara Tok Bali pukul 2.20 petang semalam.

Menurutnya, nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, peralatan menangkap ikan, 500 kilogram ikan dan 4000 liter diesel dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.

Beliau juga berkata, forensik awal pada badan bot itu menemukan kesan-kesan nombor pendaftaran asal negara Vietnam telah dipadankan dengan menyapu cat putih, manakala bot itu juga mempunyai struktur fizikal yang menyerupai ciri-ciri bot Vietnam.

“Penahanan bot itu dan dua bot sebelum ini pada 7 september lalu mungkin berkaitan berdasarkan modus operandi yang sama iaitu memadamkan nombor pendaftaran asal dengan mempamerkan nombor pendaftaran bot tempatan palsu,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -