Ahli Parlimen lapor polis terhadap ‘Kudin Tumpat’

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Kudin Tumpat kerana didakwa menuduhnya melakukan penyelewengan dalam pentadbiran sebelum ini.

Laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat tuduhan berkenaan yang didakwa cuba merosakkan nama baiknya termasuk sebagai bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

- Advertisement -

Peguamnya Muhammad Khairul Azwan Azhan berkata, petang semalam anak guamnya mendapati tuduhan yang dikaitkan terhadapnya dengan perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tuduhan itu dibuat menerusi satu akaun Facebook di bawah nama Kudin Tumpat yang melakukan perbuatan penyebaran fitnah dan tohmahan ke atas anak guam saya dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaannya.

“Laporan polis yang dibuat hari ini bagi tujuan pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik Che Abdullah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, hari ini.

Sementara itu, Che Abdullah dalam laporannya berkata, sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Timbalan Menteri II dan Ahli Parlimen Tumpat, beliau menjalankan tugas mengikut tatacara perolehan kerajaan yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Negara.

“Saya menyokong ketelusan dan penyiasatan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan berdasarkan perundangan Malaysia.

“Saya membuat laporan ini bagi menghentikan perbuatan penyebaran fitnah dan tohmahan ke atas saya dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -