KeTSA tidak bersetuju cadangan pewartaan keluar HSKLU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam Malay Mail pada 30 Ogos lalu bertajuk Selangor Government Approves Degazettement of Kuala Langat North Forest Reserve, 536.7ha to be Developed.

Menurutnya, Malaysia komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

- Advertisement -

Beliau berkata, pemeliharaan kawasan berhutan adalah penting disebabkan oleh peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

Secara dasarnya, kata beliau Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan jabatan/agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar HSKLU itu khususnya di peringkat awal cadangan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Pihak kementerian dan jabatan/agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar HSKLU pada tahun 2020.

Jelas beliau, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, KeTSA memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

Ini, ujarnya kerana sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

Katanya lagi, KeTSA mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Dalam hal ini, kementerian ini juga mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Negeri Selangor dikekalkan,” ujarnya.

Justeru, katanya Kerajaan Negeri Selangor diharap memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah ditetapkan, dipatuhi sepenuhnya.

Ini, ujar beliau bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -