Tarik balik keputusan nyah warta hutan simpan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Selangor menarik balik keputusan menyahwartakan kira-kira 54 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) yang dibuat secara senyap-senyap oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Mei lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata keputusan memajukan kawasan 536.7 hektar itu amat mengejutkan kerana membelakangi persetujuan sebulat suara dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November tahun lalu untuk tidak menyahwartakan hutan simpan itu.

- Advertisement -

Katanya, usul itu berbunyi: “Bahawa Dewan Yang Mulia ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri agar kawasan tadahan air dan hutan simpan di Negeri Selangor dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di Negeri Selangor mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.”

“Usul ini dipersetujui secara muafakat merentasi parti politik apabila Ahli Dewan Negeri mahu status hutan simpan itu dipertahankan.

“Ahli Dewan Negeri mewakili rakyat dan apabila suara kami dinafikan dengan meneruskan penyahwartaan hutan simpan, ini bermakna kerajaan negeri juga menolak suara rakyat yang membantah keputusan itu,” katanya kepada Harakah Daily di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, ketika Sidang Dewan Negeri Selangor Isnin lalu, dilaporkan berkata keputusan menyahwartakan hutan simpan itu dibuat dalam mesyuarat Exco, 5 Mei lalu.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun 2020.

Notis itu yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan hutan tersebut, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat, terutama komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan sumber hutan sejak ratusan tahun lamanya.

Pelbagai pihak bantah keputusan kerajaan Selangor menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, mempertikaikan kerajaan negeri yang secara senyap meluluskan menyahrwartakan hutan simpan itu.

“Saya sendiri hanya tahu Jun lalu apabila bertanya kepada seorang pegawai di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat yang memberitahu proses menyahwartakan sudah dilakukan. Malangnya kerajaan negeri tidak membuat sebarang pengumuman sehingga perkara ini dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor minggu lalu,” katanya.

Selain itu, katanya sesi penerangan awam dan penyiasatan awam yang dilakukan oleh kerajaan negeri membuktikan usaha menyahwartakan hutan simpan itu ditolak oleh masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti Orang Asli apabila lebih 50,000 bantahan dikemukakan.

“Selangor adalah satu-satunya negeri yang menjalankan penyiasatan awam sebelum menyahwartakan hutan simpan. Bagaimanapun, apa maknanya penyiasatan awam dijalankan jika keputusannya diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, antara alasan kerajaan negeri untuk menyahwartakan hutan simpan itu ialah hutan di situ bukan hutan dara dan kawasan sekeliling sudah dimajukan dengan projek pembangunan.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi alasan bahawa kawasan hutan simpan itu akan menjadi laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Bagaimanapun, katanya alasan yang diberikan atas nama pembangunan sukar diterima kerana Selangor mempunyai banyak kawasan lain yang boleh dimajukan, selain memajukan kawasan hutan simpan bermakna hutan di situ akan hilang buat selama-lamanya.

Dari segi ekosistem, katanya hutan simpan paya gambut yang terletak antara Bandar Saujana Putra dan Admiral Cove itu juga adalah kawasan sensitif dan tidak sesuai untuk pembangunan serta berperanan sebagai penebat banjir semula jadi. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -