‘Tahniah Malaysia, kita sudah bertapak di Palestin’

Foto daripada Facebook Nadir Al-Nuri.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Inilah hadiah paling besar Palestin buat kita bersempena Sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-64 pada tahun ini,” kata Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu, sebahagian tanah Palestin kini dinamakan dengan nama negara kita, Malaysia.

- Advertisement -

Ini susulan Palestin menamakan sebatang jalan dengan nama Malaysia Street bersempena Hari Kemerdekaan Ke-64 Malaysia, semalam.

Katanya, Malaysia Street itu terletak di salah sebuah jalan penting di tengah bandar Gaza, berdekatan himpunan universiti, bangunan-bangunan kerajaan dan agensi antarabangsa.

“Pemilihan lokasi ini menandakan penghargaan terhadap persaudaraan dan solidariti kita bersama mereka,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Perasmian jalan itu pagi semalam disempurnakan dengan kehadiran Datuk Bandar Gaza, Dr Yahya As-Sarraj.

Selain beliau, hadir sama ialah Pengarah MyCare di Gaza Dr Ziad Shehadah serta rakan-rakan media tempatan.

“Tahniah Malaysia! Kita sudah bertapak di Palestina!” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -