
KOTA BHARU: Kelantan menerima pelaburan sebanyak RM1.6 bilion sepanjang tahun lepas yang membabitkan enam projek.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Dato’ Hanifa Ahmad berkata, sumbangan tertinggi diperolehi melalui pembangunan industri perabot di Gua Musang dengan pelaburan berjumlah RM1 bilion.
Manakala sebanyak RM300 juta melibatkan Industri Sistem Binaan (IBS) di Machang.
“Kedua-dua projek berkenaan sekaligus dapat membuka peluang pekerjaan kepada seramai 5,000 orang apabila ia beroperasi sepenuhnya nanti.
“Dapat dilihat sumbangan terbesar ialah sektor industri pembuatan dan kerajaan memberi tekanan kepada industri perabot yang terletak di kawasan Dun Galas Gua Musang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pelaburan yang diperolehi pada 2020.
Hanifa juga berkata, setakat ini terdapat dua syarikat dalam proses penyediaan permohonan kebenaran merancang permohonan bagi pembinaan kilang.
Katanya juga dengan wujudnya pembangunan kawasan industri dan limpahan ekonomi, maka ia dapat membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
“Pembangunan itu membuka peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi dan selain itu projek perumahan akan naik dan memberi peluang kepada kontraktor dan pemilik tanah membina rumah sama ada bagi memberi sewa dan jual.
“Ini yang dikatakan limpahan ekonomi apabila wujud kawasan industri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas). – HARAKAHDAILY 24/8/2021




















