Maik sedia buka masjid 80 peratus imuniti kelompok

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersedia membuka masjid setelah imuniti kelompok meliputi 80 peratus golongan dewasa tercapai serta kes jangkitan semasa Covid-19 menurun.

Ketua Pegawai Pembangunan Maik, Mohd Azman Ghazali berkata, sehingga kini 80 peratus dari 1,800 imam tua, imam muda dan bilal masjid seluruh Kelantan sudah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mengeluarkan arahan sama, hanya peniaga dan pekerja kedai makan yang lengkap suntikan dua dos vaksin dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’ di premis masing-masing.

“Bakinya, 20 peratus saya jangka dalam bulan ini, saya rasa boleh selesaikan. Ini sebagai persediaan kalaulah kita buka masjid sebab antara syaratnya untuk buka masjid vaksinasi lebih 50 peratus dan lengkap dua dos.

“Pegawai masjid iaitu imam tua, imam muda dan bilal sebagai tuan rumah, dia kena dapatkan vaksin terlebih dahulu dan lengkapkan dos kedua, baru boleh laksanakan buka masjid sebagaimana ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Prihatin Maik bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di perkarangan Kompleks Balai Islam Lundang di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Azman menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada peniaga kecil, iaitu 42 dari Kota Bharu dan 16 penerima dari Bachok yang terjejas pendapatan ketika pandemik Covid-19, secara pandu lalu.

Turut hadir Pegawai Agihan Zakat Maik, Ustaz Mahamad Azmi Zakaria dan Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam.

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pihaknya meminta imam masjid termasuk Pegawai Pematuhan SOP yang dilantik Maik melakukan pemantau di 604 masjid negeri, jajahan dan mukim seluruh Kelantan.

Menurutnya langkah itu perlu bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi serta mengelakkan masjid, surau dan madrasah sekali lagi menjadi punca kewujudan kluster baru ekoran peningkatan kes di Kelantan sekarang.

“Kalau Masjid Mukim kita tiada isu sangat kerana elaun dibayar Maik yang kita risau surau dan madrasah di luar sedikit kawalan kita, ini pun pernah berlaku penularan.

“Oleh itu kita minta pegawai masjid kita pantau juga madrasah, surau dan balasoh dalam kawasan masing-masing, buat pemantauan lebih sedikit kerana kita mahu wabak Covid-19, dapat berakhir dengan cepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2021

- Advertisement -