
AKHIRNYA hasrat England untuk menamatkan kemarau kejohanan selama 55 tahun hancur berkecai setelah Itali membenamkan mereka pada perlawanan akhir Euro 2020 Ahad lepas. Itali menang melalui tendangan penalti 3-2 apabila perlawanan selepas masa tambahan berkesudahan 1-1. Di atas kertas England sepatutnya mengalahkan Itali kerana mereka adalah pasukan pilihan ketiga di belakang Perancis dan Belgium. Apabila kedua-dua pasukan ini tersingkir, ia adalah peluang keemasan bagi England. Lebih-lebih lagi perlawanan akhir tersebut telah berlangsung di Wembley, London, stadium di mana England telah memenangi Piala Dunia pada tahun 1966.
Piala Dunia tersebut adalah kali terakhir England memenangi kejohanan bola sepak Antarabangsa yang utama. Ramai yang menyangka England akan mengulangi kejayaan itu apabila mereka menjaringkan gol pada minit ke 2 tetapi Itali berjaya menyamakan kedudukan 23 minit sebelum tamat perlawanan. Gol England telah dijaringkan oleh pemain Manchester United, Luke Shaw yang juga bekas pemain Southampton sementara gol Itali disumbat oleh pemain Juventus, Leonardo Bonucci.
Euro 2020 penuh dengan kejutan. Pada peringkat kumpulan, 3 pasukan yang berada di dalam kelompok 16 pasukan pilihan telah gagal ke peringkat seterusnya. Poland (Pilihan ke-8 ), Russia (12) dan Turki (14) telah terkandas. Sementara pasukan-pasukan bukan pilihan iaitu Sweden (17), Republik Czech (18) dan Wales (19) telah layak ke Pusingan 16.
Manakala beberapa kejutan juga telah berlaku pada peringkat kalah mati. Kejutan terbesar adalah kekalahan Belanda kepada Republik Czech dan Perancis kepada Switzerland pada Pusingan 16. Sementara pasukan di ranking pertama FIFA, Belgium telah disingkirkan oleh Itali pada peringkat suku akhir.
Perlawanan-perlawanan tahun ini berlangsung di 11 bandaraya di 11 buah negara. Bersempena ulang tahun ke 60 pertandingan, perlawanan-perlawanan telah berlangsung di Azerbaijan, Denmark, England, Jerman, Hungari, Itali, Belanda, Romania, Russia, Scotland dan Sepanyol. Euro kali ini berlangsung ketika perpaduan negara-negara Eropah teruji dengan keputusan Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (E ) atau Brexit dan terdapat tuntutan di negara-negara lain untuk mengikut jejak Britain.
Sebelum perlawanan akhir Euro Ahad lepas, akhbar Express UK telah mendedahkan bahawa sebelum Euro 2016 terdapat usaha pegawai-pegawai UEFA dari Jerman dan Sepanyol untuk menggantung England dari menyertai Euro jika Brexit berlaku. Menurut mereka ‘out means out’.
Sebuah program televisyen Sepanyol yang popular, El Chiringuito, yang selalu membahaskan isu-isu panas bola sepak telah mempersoalkan pemilihan England sebagai tuan rumah perlawanan akhir tahun ini memandangkan Brexit.
Sementara seorang ahli politik Britain mendakwa Pengarah Eksekutif EU, Ursula von der Leyen dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya EU yang lain mahu Itali mengalahkan England kerana Brexit. Di Itali pula ada yang menganggap adalah tamparan kepada EU apabila perlawanan akhir berlangsung di London. Walau bagaimanapun dengan kekalahan England, kesan kepada imej EU dapat dikurangkan.
Justeru itu politik dan sukan tidak dapat dipisahkan di Eropah. Malah terdapat ketegangan di antara beberapa negara-negara Eropah yang mengakibatkan UEFA terpaksa melarang perlawanan-perlawanan tertentu.
Perlawanan-perlawanan itu adalah Ukraine menentang Russia (sejak 2014), Kosovo menentang Serbia (2016), Bosnia-Herzegovina (2016) dan Russia (2019), Armenia menentang Azerbaijan (2010) dan Spain menentang Gibraltar (2013).
Pada Euro kali ini, Russsia dan Ukraine telah dipisahkan di peringkat kumpulan. Sementara Kosovo, Serbia dan Bosnia-Herzegovina tidak layak. Ketika Perang Dingin (Cold War), sukan telah menjadi penghubung di antara negara-negara Eropah Barat dan Eropah Timur tetapi hari ini keadaan adalah lebih rumit.
Peperangan berlaku secara terbuka seperti peperangan Nagorno-Karabakh 2020 di antara Azerbaijan dan Armenia. Turki didakwa menyokong Azerbaijan dan Russia membekalkan senjata kepada Armenia. Peperangan di antara Ukraine dan Russia sejak Februari 2014 juga belum ada kesudahan. Peperangan untuk merebut wilayah Donbas dan Crimea milik Ukraine oleh Russia telah mengorbankan lebih 10,000 tentera dan juga berbelas ribu orang awam. Selain dari itu telah berlaku peperangan di Bosnia dari 1992 hingga 1995 dan di Kosovo dari 1998 hingga 1999.
Walau bagaimanapun peperangan ini melibatkan negara-negara Eropah Timur atau bekas negara-negara satelit Soviet. Negara-negara Eropah Barat juga bertelagah namun ia tidak mengakibatkan pertumpahan darah. Mungkin negara-negara itu telah melalui 3 peperangan besar dalam tempoh 200 tahun yang lalu dan tidak mahu mengulangi tragedi tersebut.
Perang Dunia Kedua (1939 – 1945), Perang Dunia Pertama (1914 – 1918) dan Perang Napoleon (1803 – 1815) menginsafkan mereka. Mungkin juga kejohanan bola sepak seperti Euro ini dan kejohanan-kejohanan di antara kelab-kelab Eropah dapat mengeratkan hubungan di kalangan mereka dan mengelakkan peperangan besar dari meletus.
Sejak penubuhan ‘European Coal and Steel Community’ oleh Belgium, Belanda, Itali, Jerman Barat, Luxembourg dan Perancis dalam tahun 1951 sehingga penubuhan ‘European Economic Community’ (1957) yang akhirnya diserapkan ke dalam EU (1993), negara-negara Eropah sentiasa berusaha untuk mewujudkan kerjasama di antara mereka.
Maka tidak hairan walaupun terdapat perbezaan namun Euro 2020 dapat berlangsung dengan jayanya. Seperti biasa, negara-negara Barat sentiasa dapat mengenepikan perbezaan mereka untuk mencapai matlamat bersama. Ianya amat berbeza dari kita yang mempunyai matlamat yang sama malah musuh yang sama tetapi gagal untuk mencari titik pertemuan.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
12 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 12/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4478277865524509/




















