Warga emas terkejut gambar dirakam tanpa izin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

TUMPAT:
Seorang warga emas Abdullah Ismail, 73 yang bekerja sebagai pengutip sampah dan barangan terpakai terkejut apabila gambarnya sedang bekerja disiarkan di halaman depan sebuah akhbar hari ini.

Ketua Pemuda PAS Tumpat Mohd Hushaimi Hussian berkata, selepas kehilangan kudrat Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah Unta yang pernah bekerja sebagai tukang rumah sekarang mencari rezeki dengan mengutip barangan terpakai.

“Berdasar maklumat Pak Lah gambar yang disiarkan akhbar terbabit diambil tanpa keizinannya.

“Pak Lah tidak lagi bekerja sebagai tukang rumah sejak 2014 lagi dan sejak tempoh itu dia mengutip sampah untuk meneruskan kehidupan.

- Advertisement -

“Kami menyatakan kesal terhadap laporan itu, seolah-olah bagi meraih sensasi orang ramai dengan memberi gambaran ramai rakyat Kelantan terpaksa melakukan apa sahaja bagi mencari rezeki akibat penularan Covid-19,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini menyiarkan di halaman depan seorang warga emas sedang mengutip barangan terpakai di Pasir Pekan bagi mencari rezeki akibat pandemik Covid-19.

Mohd Hushaimi juga berkata, laporan itu boleh menimbulkan tanggapan negatif masyarakat dengan memberi gambaran buruk terhadap kerjaya warga emas terbabit.

Sedangkan keadaan sebenar kehidupan warga emas terbabit tidak dilaporkan.

“Hasil semakan kita bantuan sering disalurkan kepada Pak Lah khususnya melalui penghulu sejak sekian lama bagi mengurangkan beban keluarganya.

“Malah kalau ada bantuan dari mana-mana pihak juga amat dialu-alukan,” katanya.

Mohd Hushaimi yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berharap media lebih berhati-hati melaporkan kehidupan rakyat dengan mendapat maklumat yang lebih tepat bagi mengelakkan sebarang fitnah. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -