Euro 2020: Nama baru kali ini?

- Advertisement -

KETIKA artikel ini ditulis 10 perlawanan Kejohanan Bola Sepak UEFA 2020 atau Euro 2020 telah selesai berlangsung. Kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Eropah itu sepatutnya berlangsung tahun lepas tetapi telah ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun kejohanan kali ini tetap dikenali sebagai Euro 2020 dan bukan 2021.

Kejohanan tahun ini merupakan kali pertama ia berlangsung di 11 negara bersempena ulang tahun ke-60 pertandingan tersebut. Sebelum ini 2 negara pernah berkongsi menjadi tuan rumah sepertimana buat pertama kali pada kejohanan tahun 2000 di Belanda dan Belgium, tahun 2008 di Austria dan Switzerland dan tahun 2012 di Poland dan Ukraine.

- Advertisement -

Euro 2020 merupakan kejohanan ke-16 dan disertai oleh 24 negara. Kejohanan pertama pada tahun 1960 telah disertai oleh 4 negara. Bilangan penyertaan telah ditambah kepada 8 negara pada tahun 1980 dan kepada 16 negara pada tahun 1996. Sementara pada kejohanan di Perancis tahun 2016, buat pertama kali 24 negara telah mengambil bahagian.

Menurut akhbar UK, Telegraph, ‘favourite’ bagi kejohanan tahun ini adalah juara Piala Dunia FIFA 2018, Perancis diikuti dengan England dan Belgium. Itali pula di tempat ke-4 dan Sepanyol di tempat ke-5. Sementara Jerman, Portugal dan Belanda yang pernah memenangi 5 kejohanan di antara mereka adalah ‘favourite’ ke 6, 7 dan 8.

Walau bagaimanapun Perancis berada di dalam Kumpulan F bersama Jerman, Portugal dan Hungary. Kumpulan ini digelar sebagai ‘kumpulan maut’ atau ‘group of death’. Perancis perlu bermain menentang Jerman di Munich, Jerman sementara menentang Hungary dan Portugal di Budapest, Hungary. Mereka tidak memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri. Ketiga-ketiga bekas juara di dalam kumpulan ini boleh mara sama ada sebagai juara kumpulan, naib juara kumpulan atau di antara 4 pasukan ketiga terbaik. Namun Hungary boleh membuat kejutan kerana mereka akan bermain di tempat sendiri untuk 2 dari 3 perlawanan kumpulan. Tidak hairan jika salah satu dari 3 bekas juara ini akan tersingkir.

Nasib England adalah lebih baik kerana mereka akan bermain ketiga-ketiga perlawanan Kumpulan D mereka di Wembley, London. Mereka telah mengalahkan Croatia 1-0 pada perlawanan pertama dan dilihat tidak akan berhadapan dengan sebarang masalah untuk menundukkan Republik Czech dan Scotland walaupun Scotland merupakan musuh tradisi mereka. Jika England memenangi kumpulan ini mereka akan juga bermain di Wembley pada peringkat pusingan 16 pasukan. Kesemua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir adalah juga di Wembley. Ini bermakna peluang England memenangi Euro 2020 adalah cerah.

Negara ranking nombor satu FIFA, Belgium adalah ‘favourite’ nombor 3. Mereka berada di dalam Kumpulan B bersama Russia, Denmark dan Finland. Pada perlawanan pertama, mereka telah membelasah Russia 3-0 di St Petersburg, Russia. Denmark dan Finland dilihat tidak akan dapat menyaingi mereka dan Belgium dijangka akan mara dengan mudah. Pemain Inter Milan, Romelu Lukaku, yang telah menjaringkan 2 gol menentang Russia berupaya menjadi bintang utama Euro kali ini. Lukaku telah memenangi Kejuaraan Liga Serie A Itali bersama Inter Milan musim ini. Belgium juga telah menang tanpa pemain Manchester City, Kevin de Bruyne, yang masih belum pulih dari kecederaan yang dialami ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Chelsea.

Juara 3 kali Sepanyol pula telah memulakan kejohanan dengan perlahan apabila hanya seri 0-0 dengan Sweden pada perlawanan Kumpulan E. Mereka telah mengawal 85 peratus permainan dan melakukan 917 hantaran (passes) tetapi gagal menjaringkan sebarang gol. Mereka perlu menyelesaikan masalah mereka ini jika mahu mengulangi kejayaan-kejayaan sebelum ini.

Dua bekas juara, Itali dan Belanda, telah memulakan kejohanan dengan kemenangan apabila Itali membenam Turki 3-0 dalam Kumpulan A dan Belanda menang tipis 3-2 menentang Ukraine dalam Kumpulan C. Walaupun Turki bukan satu kuasa bola sepak dunia namun Itali telah memberi amaran kepada negara-negara lain. Walau bagaimanapun prestasi Belanda adalah tidak meyakinkan kerana telah membenarkan Ukraine menyamakan kedudukan setelah mendahului 2-0 dan hanya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Peminat-peminat bola sepak terpaksa menunggu satu tahun apabila kejohanan kali ini ditangguhkan. Penantian mereka sudah tentu berbaloi jika mereka dihidangkan dengan kualiti bola sepak yang tinggi. Euro 2021 akan menjadi lebih menarik jika ia dimenangi oleh negara yang tidak pernah menjadi juara. Negara-negara yang tidak disangka-sangka pernah menjadi juara sebelum ini. Greece telah memenangi kejohanan 2004 dan Denmark pada kejohanan 1992. Walau bagaimanapun mungkin susah untuk kita melihat negara-negara seperti Sweden, Wales atau Finland muncul juara kali ini. Tetapi tidak mustahil untuk nama-nama baru seperti Belgium atau England menjadi juara buat kali pertama dalam sejarah.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -