
AMARAN buat Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, supaya tidak bersikap kurang ajar dan memutar belit maksud Kerajaan Allah yang ditulis oleh Presiden PAS.
Semua orang Islam mengetahui, maksud ‘Kerajaan Allah’ yang ditulis oleh Presiden PAS adalah kekuasaan Allah, bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia, bahkan Malaysia, baik kerajaan Perikatan Nasional apatah lagi kerajaan gagal Pakatan Harapan.
Lim Kit Siang bukan sahaja salah dan memutar belitkan maksud perkataan tersebut, malah beliau bertindak menghina ‘Kerajaan Allah’ sebagai kerajaan gagal dalam melawan pandemik. Sudahlah memutar belit, menghina pula?
Pemuda PAS memberi amaran kepada Lim Kit Siang dan menuntut supaya permohonan maaf secara terbuka dibuat terhadap umat Islam dalam tempoh 24 jam. Sekiranya gagal, satu laporan polis akan dibuat besar-besaran atas provokasi dan penghinaan kepada umat Islam.
Bukanlah sesuatu yang pelik bagi pemimpin parti seangkatan dengan Lim Kit Siang menghina Islam dan Allah. Sekiranya kebiadaban ini dibiar berterusan, keamanan dan keharmonian negara akan terus tergugat akibat mulut lancang dan penghinaan golongan ini. Pemuda PAS menggesa tindakan berat dikenakan ke atas mereka yang cuba menggugat keharmonian negara.
YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 6/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4482949745082717/





















