Agong zahir penghargaan Parlimen sedia adakan persidangan

Foto daripada Facebook Istana Negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih itu susulan menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir pada sesi yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 11.00 pagi ini ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Dato’ Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon dan Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Menurut Ahmad Fadil, susulan sesi menghadap itu dan lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah berlangsung pada 16 Jun, 2021 lalu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, tambah beliau Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” ujarnya.

Beliau menambah, Seri Paduka turut mengambil kesempatan menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -