
KUALA LUMPUR: Kehadiran pesawat pengintip Israel merentas ruang udara di Putrajaya sebelum mendarat di Singapura menunjukkan signal bahawa mereka berasa terancam dengan Malaysia.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi, beliau berpendapat kehadiran pesawat pengintip itu membuktikan Israel mula menyedari kekuatan Malaysia.
Jelasnya, walaupun kekuatan Malaysia bukan dari sudut ketenteraan, tetapi diakui dari sudut teknologi siber. Apatah lagi, perang siber yang dilancarkan oleh tentera bawang baru-baru ini telah menggugat ketenteraman Israel.
“Apa yang anda fikirkan dengan pesawat ini? Kenapa perlunya pesawat ini melintasi ruang udara Malaysia dan mengambil beberapa ketika berada di sekitar Putrajaya?
“Kehadiran pesawat pengintip ini menunjukkan signal Israel terancam dengan Malaysia. Tujuan pesawat pengintip adalah dalam sisi perang. Pesawit pengintip Israel pernah digunakan untuk mengintip senjata yang ingin dibawa masuk ke Palestin.
“Apakah yang membuatkan Israel tergugat? Berdasarkan indeks Global Fire Power tahun 2020, kekuatan ketenteraan Malaysia ialah berada pada kedudukan ke-17 di Asia dan ke-44 di Dunia, berbanding Indonesia tempat ke-9 dan Thailand ke-13 di Asia.
“Malaysia memiliki 410,000 anggota tentera iaitu 1.3 peratus daripada populasi penduduk. Daripada angka tersebut, Malaysia belum mempunyai bilangan anggota tentera yang cukup.
“Walau bagaimanapun, diakui tentera Malaysia mempunyai strategi perang yang baik. namun masih belum kukuh dari sudut persiapan teknologi ketenteraan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau dalam masa sama turut mengucapkan tahniah kepada tentera siber bawang gabungan Malaysia dan Indonesia kerana berjaya mengancam ruang siber Israel.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan bahawa Israel tidak akan berdiam diri dengan situasi yang berlaku hari ini dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku ancaman siber terhadap Malaysia sekali lagi.
“Untuk itu, keselamatan negara jangan dibiarkan dibolosi seperti kehadiran mudah pesawat Israel tanpa tujuan tepat dalam ruang udara Malaysia. Mudah-mudahan Malaysia terhindar dari segala malapetaka,” sarannya. –HARAKAHDAILY 26/5/2021




















