‘Sayu lihat pakcik, makcik pakai gelang pink’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alangkah sayu melihat pakcik makcik yang terpaksa dipakaikan gelang pink dan berkuarantin selepas swab test,” kata Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, tentu sekali sangat berbeza sambutan hari raya yang akan dilalui apatah lagi jika sumber pendapatan terjejas.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, petang semalam misi bantuan 113 pek makanan ke Kampung Paya Ular berjaya dilaksanakan. (Foto atas)

- Advertisement -

Secara kebetulan, ujarnya terserempak dengan kumpulan wartawan bersama pasukan keselamatan di pintu masuk kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman Facebooknya, pagi ini.

Kampung Paya Ular termasuk dalam Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang dikenakan PKPD bermula 9 hingga 22 Mei.

Katanya, PKPD yang dikenakan di beberapa buah kampung di Mukim Bunut Susu agak sukar untuk diharungi memandangkan rata-rata penduduk terlibat daripada kalangan B40.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk bekerja kampung dan gaji hari, ditambah pula dengan suasana hujung Ramadan dan ambang Idulfitri.

“Tapi apakan daya, demi menjaga kemaslahatan nyawa yang lebih penting, kerajaan mengambil langkah ini.

“Sukar untuk bayangkan bagaimana mereka akan tempuhi suasana sebegini,” ujarnya lagi.

Menurutnya, ratusan keluarga terlibat dan memerlukan bantuan makanan.

Ahmad Fadhli turut mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang memainkan peranan. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -