
PASIR PUTEH: Setiap kali Ramadan bekalan kelapa antara yang paling laris. Bukan sahaja kelapa muda menjadi rebutan, sebaliknya santan kelapa juga mendapat permintaan tinggi.
Santan digunakan untuk menghasilkan lauk pauk, kuih muih dan pelbagai lagi sebagai juadah pembuka selera ketika iftar.
Musim sekarang bukan sahaja penjual kelapa dan santan yang meraihkan pendapatan berganda, sebaliknya pemanjat pokok kelapa juga mendapat labanya.
Seorang pemungut kelapa mengakui memperolehi pendapatan agak lumayan
dengan mengambil upah memetik buah kelapa penduduk kampung.
Mohd Nor Daud, 61, berkata, kerja-kerja memetik kelapa menjadi lebih mudah kerana dibantu seekor beruk jantan yang dilatih sejak tiga tahun lepas.
Katanya beruk peliharaannya itu mampu memunggut buah kelapa sebanyak antara 200 hingga 300 biji sehari.
Ada ketikanya pendapatannya mencecah sehingga RM400 sehari dengan usaha gigih tersebut di samping menjual santan.
“Saya memelihara beruk jantan sejak tiga tahun lepas setelah membeli daripada seorang rakan dengan harga sebanyak RM200.
“Saya melatihnya sendiri tentang kaedah memetik buah kelapa di atas pokok dan kini beruk jantan tersebut mahir bekerja.
“Beruk saya juga patuh dan faham arahan dengan bahasa-bahasa khas seperti naik pokok, ambil buah kelapa muda, dan buah tua, berhenti, ambil lagi dan habis serta turun ke bawah,” katanya ketika ditemui di Kampung Telaga Gayong dekat sini hari ini.
Mohd Nor berkata, kelapa yang dibeli daripada penduduk kampung diprosesnya sendiri untuk menghasilkan santan.
Menurutnya memproses untuk menghasilkan santan dibantu isterinya Rokiah Daud, 62.
“Saya jual santan pekat dengan harga RM10 sekilogram berbanding di pasaran sekarang RM12 sekg,” katanya.
Kata beliau santan yang dikeluarkan bermutu tinggi kerana lebih pekat kerana tidak dicampur air. – HARAKAHDAILY 26/4/2021




















