
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis.
Beliau memaklumkan bahawa jawatan tersebut yang disandang oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim digantikan kepada Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar Negeri Perlis.
“Pertukaran ini berkuatkuasa mulai hari ini. Dirakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim atas khidmat sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.
Namun demikian, Azlan juga tidak menolak kemungkinan bakal membentuk jawatan kuasa baharu perhubungan Umno negeri.
Azlan yang turut sebagai ketua Umno Bahagian Kangar itu juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Umno kerana telah memberi kepercayaan dan keyakinan kepada beliau untuk mengetuai Umno Perlis.
Justeru, pertukaran Shahidan yang cukup sinonim dengan Umno Perlis, berkemungkinan disebabkan pendirian beliau yang lantang untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya ingin maklumkan bahawa kita akan terus bekerjasama dengan semua parti dalam Pakatan Nasional.
“Umno ada 42 kerusi, Bersatu 18 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 18 kerusi dan lain-lain.
“Kita akan terus bekerjasama walaupun kita
ada orang (parti) baharu menyertai kita,” katanya pada sidang media, 30 Mac lalu.
Oleh itu, beliau berkata demikian kerana tidak mahu menimbulkan kerjasama bermusuh antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 24/4/2021




















