
KEPALA BATAS: Exco Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas, Yuszaidi Abdul Hamid, 40, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu, 31 Mac kira-kira jam 10 pagi.
Balu Yuszaidi, Basirah Ab Wahab, 39, sewaktu ditemui berkata, arwah dimasukkan ke Hospital selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 27 Mac, selepas pulang dari masjid.
Arwah telah menghembuskan nafas terakhir pada 31 Mac selepas 4 hari dimasukkan ke Hospital.
Allahyarham mengalami pendarahan dalam kepala yang serius dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Pulau Pinang.
Jenazah arwah yang tiba dari hospital disambut dalam suasana sayu dan pilu oleh kaum keluarga sebelum disempurnakan pengkebumian di Tanah Perkuburan Kota Kuala Muda selepas solat Asar pada hari yang sama.
Hadir bersama solat jenazah beliau ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Tajudin Abu Bakar.
Beliau berpesan kepada keluarga arwah agar bersabar di atas ujian Allah di samping merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir.
Ketika ditanya mengenai arwah, Ustaz Tajudin bercerita arwah seorang yang baik muhsinin dan sentiasa bersama rakan Pemuda memberikan bantuan dan sumbangan kepada pelajar pondok Turath Islam Juru. Allahyarham merupakan aktivis PAS yang sangat berkomitmen tinggi dan istiqamah dalam perjuangan.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas, Ustaz Azam Abdullah ketika dihubungi hari turut meluahkan kesedihan atas kehilangan insan yang disifatkan sebagai sahabat baik ini.
“Arwah seorang pemuda yang sangat komited dengan tugasan yang diberikan, paling awal menyahut jika diajak berkhidmat, paling sibuk memastikan kelancaran sesuatu program dan paling risau jika ada halangan atau kegagalan terhadap program.
“Dia mengajar erti istiqamah yang sebenar, dia menunjukkan erti to’ah (ketaatan), dia mendidik erti walak dan menjiwai setiap tuntutan dalam berjamaah.
“Dia mungkin tidak hafal dalil berkenaan ketaatan, namun dia tidak pernah mencuaikan arahan pimpinan,” demikian kata Ustaz Azam.
Hadir sama menziarahi jenazah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudin dan pimpinan PAS Kawasan Kepala Batas. – HARAKAHDAILY 3/4/2021




















