Muafakat PAS-Umno masih terbuka luas

- Advertisement -

KANGAR: Muafakat antara PAS dan Umno masih diteruskan biarpun PAS dan Bersatu memperkukuhkan hubungan menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Azlan Man berkata, PAS dan Umno masih berada dalam Muafakat Nasional (MN) di mana ruang kerjasama masih terbuka luas.

“Bagi saya, ruang kerjasama masih terbuka luas sebelum berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya yang juga Menteri Besar Perlis selepas majlis sambutan ulangtahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kompleks Jabatan Penyiaran hari ini.

- Advertisement -

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini parti itu mengesahkan tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

PAU juga memberi mandat kepada Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan menarik diri menyokong kerajaan PN sekiranya parlimen tidak dibubarkan selepas 1 Ogos hadapan.

Azlan berkata, Umno hanya memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, namun MN masih kekal.

“Namun, jika berlaku ketidaksefahaman dalam MN, kemungkinan keputusan untuk Umno bergerak sendiri adalah praktikal.

“Bagaimanapun ia hanya kemungkinan-kemungkinan jika tidak berlaku kerjasama pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Menurutnya lagi, hubungan PAS dan Bersatu melalui PN adalah hak parti masing-masing, begitu juga keputusan yang dibuat Umno.

Kata beliau, setiap parti berhak menentukan hala tuju masing masing.

Ditanya isu pengagihan kerusi di Perlis, katanya ia masih belum dimuktamadkan dengan mengambil kira keadaan terkini tiada kerjasama antara Umno dan Bersatu.

“Dengan PAS, ruang pengagihan kerusi masih ada kerana kita masih berkerjasama dalam MN,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kangar.

Semalam PAS dan Bersatu menyatakan kesepakatan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -