
KUALA LUMPUR: PAS Terengganu memberi komitmen untuk terus menjalinkan kerjasama bersama Umno negeri itu yang terbina sejak 2019.
Ketua Penerangannya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hubungan kedua-dua parti terbesar itu masih kekal meskipun PAS telah mewujudkan Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) peringkat Terengganu bersama parti Bersatu pada Ahad.
Menurutnya, Umno merupakan sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN), maka kerjasama tetap diteruskan seperti biasa.
“Di samping perundingan dan perbincangan tetap berjalan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang,” jelasnya dipetik portal Buletin Online.
Mengenai Jawatankuasa PN, Wan Sukairi yang juga Ketua Penerangan PN negeri berkata, badan itu akan dipimpin oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Manakala Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, masing-masing sebagai Naib Pengerusi.
Tambahnya, mesyuarat turut bersetuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kecuali di Besut oleh Husain.
Menurutnya lagi, mesyuarat kali pertama yang diadakan itu disertai oleh kesemua 24 jawatankuasa kecuali bendahari, Datuk Rosol Wahid yang berada di Sabah.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terenggani berkata, jemputan akan dihantar kepada rakan komponen, Gerakan untuk turut menganggotai jawatankuasa berkenaan.
Sehubungan itu, Wan Sukairi berharap PN Terengganu dapat terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 23/3/2021




















