Elak keluar kenyataan jejas perpaduan ummah

Dato' Dr Johari Mat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemimpin Muafakat Nasional (MN) diminta lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan boleh merugikan penyatuan ummah.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr. Johari Mat berkata, Islam mengajar penganutnya tidak mengeluarkan perkataan buruk kepada pihak lain.

“Kadang-kala kalau tidak jaga percakapan, keluar sepatah sama ada baik atau buruk akan ditulis semuanya. Kalau kita kata buruk sumpah seranah atau puji orang naik kepada Allah.

- Advertisement -

“Kalau sekiranya yang kita kata perkataan buruk akan dihempas semula ke atas orang yang mengatakan itu di akhirat kelak kerana semua amalan kita sekarang akan dicatat,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilapor menggelarkan PAS sebagai pelacur kerana bekerjasama dengan Umno dan Bersatu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga mendedahkan PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46 untuk membentuk Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada 1990.

Dr Johari yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, pemimpin politik Melayu/Islam perlu mengelakkan mengeluar kenyataan yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.

PAS dan Umno membentuk Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 setelah kuasa politik orang Melayu dan Islam tergugat selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum lepas. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -