PRU15: PN Negeri Sembilan setuju tiada tiga penjuru

- Advertisement -

SEREMBAN: Parti gabungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), bersetuju tiada pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang disifatkan akan merugikan semua pihak.

Pengerusi berkenaan Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya juga bersedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) mengenai persediaan pilihan raya, agar tiada pertembungan tiga penjuru.

“Secara prinsipnya Bersatu, PAS dan Gerakan di negeri ini bersetuju mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Jika perlu, PN tidak menolak sebarang rundingan bersama BN untuk berbincang mengenai perkara ini (pertandingan tiga penjuru).

“Secara asasnya PN dan BN mempunyai asas perjuangan yang tidak jauh beza, jadi kita boleh bertolak ansur,” katanya selepas mengumumkan senarai pemimpin Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan di sini.

- Advertisement -

Eddin Syazlee juga percaya dengan cara mengelakkan persaingan tiga pejuru itu, akan memantapkan lagi barisan pemimpin yang akan bertanding pada pilihan raya nanti.

Beliau turut mengulangi pembahagian kerusi PN bagi PRU15, masih belum dibincangkan di peringkat negeri dan pihaknya bersedia menerima setiap cadangan daripada parti gabungan itu mengenai perkara itu.

Eddin berkata pada peringkat ini, pihaknya mahu menyediakan asas yang kukuh dalam kalangan komponen PN negeri, agar gerak kerja dapat dilakukan dengan lebih sistematik.

Beliau juga yakin walaupun pada PRU akan datang tiada kerjasama dengan BN, parti gabungannya tetap maju dan diterima oleh rakyat di sini.

Berikut adalah senarai pemimpin Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Sembilan:

Pengerusi : Datuk Eddin Syazlee Shith (Bersatu)
Naib Pengerusi : Rafiei Mustapha (PAS)
Naib Pengerusi : David Choong (Gerakan)
Naib Pengerusi : Mohd Hanapi Mohd Zain (Bersatu)
Setiausaha : Mohd Nazree Mohd Yunus (Bersatu)
Ketua Penerangan : Dr Muhammad Badzli Abu Bakar (PAS)
Ketua Wanita : Fazilah Abdul Samah (PAS)
Ketua Pemuda : Danni Rais (Bersatu) – BERNAMA

- Advertisement -