
KUALA LUMPUR: Apa lagi yang kita boleh buat untuk Mahkamah Syariah?
“Soalan ini sentiasa kami bincangkan,” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Ini, ujarnya sehingga membawa kepada cadangan untuk melakukan Sidang Meja Bulat bersama-sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Shabudin Yahaya.
“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menemukan pakar undang-undang sivil dan Syariah khusus untuk membincangkan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh perundangan Syariah di Malaysia,” katanya menerusi laman Facebook beliau, malam ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir menyumbang idea dan pendapat pada Sidang Meja Bulat itu.
“Ini adalah komitmen kita untuk memberikan tumpuan yang seimbang kepada perundangan dan kehakiman Syariah, tanpa mengesampingkan agenda dakwah dan kemajuan sosioekonomi Islam.
“Kita harapkan agar pada masa akan datang kita boleh merapatkan lagi jurang yang ada antara mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Semalam, beliau memaklumkan kerajaan bercadang akan menggubal dan meminda 11 undang-undang syariah bagi tujuan pemerkasaan khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Katanya, kerajaan telah merangka Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2020 hingga 2025.
“Dalam pelan pemerkasaan ini, kerajaan telah bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, iaitu termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang syariah subsidiari.
“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada pelan pemerkasaan tersebut,” katanya.
Antara empat cadangan undang-undang syariah baharu dalam proses untuk menggubal termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Wakaf, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.
Manakala, tujuh akta sedia ada yang akan dipinda termasuk RUU Pentadbiran Undang-undang Islam, Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah), Kesalahan Jenayah Syariah, Tatacara Jenayah Syariah, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah dan Tatacara Mal Mahkamah Syariah. – HARAKAHDAILY 16/3/2021




















