Kalimah Allah: MN gesa kerajaan bawa ke Mahkamah Rayuan

Foto daripada Facebook UMNO Online.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam di dalam penerbitan masing-masing.

Sehubungan itu, mesyuarat MN yang berlangsung malam tadi menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman itu ke Mahkamah Rayuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

- Advertisement -

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam pada itu, MN dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi juga menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat juga bersetuju untuk terus mengukuhkan MN.

Mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini itu adalah mesyuarat bulanan seperti biasa mengikut jadual.

Mesyuarat yang berlangsung sekitar tiga jam itu dihadiri pemimpin kedua-dua parti yang diketuai Timbalan Presiden masing-masing iaitu Dato’ Seri Mohamad Hasan daripada Umno dan Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man daripada PAS. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -