
KUALA LUMPUR: Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN berpotensi memperolehi dua pertiga majoriti di parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut kajian senario situasi terbaik menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi sehingga 162 kerusi parlimen berbanding Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi.
Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca PRU14.
Sekitar 130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu. Gabungan PN+BN juga akan berjaya menambah kawasan parlimen bandar sehingga 20 kerusi.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, 60 kerusi PH pula didominasi DAP dengan 39 kerusi, PKR (13) dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil.
“Analisa tersebut bertepatan dengan majoriti maklum balas rakyat yang dikumpul pada kajian lapangan.
“Mereka bersedia memilih gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif (PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (Umno+PAS) atau yang didominasi kaum bukan majoriti (PH),” katanya pada kenyataan hari ini.
Kajian itu dilakukan PINTAR, Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) dan NGO berteraskan penyelidikan QGenAnalysts (QGA) yang diadakan secara kajian lapangan antara Jun hingga Disember 2020.
Kawasan kajian mengambil kira negeri utara, pantai barat, pantai timur dan selatan.
Ia juga dilakukan di Dun dan parlimen yang mempunyai komposisi kaum menyamai peratus nasional iaitu 60-70 peratus Melayu, 20-30 peratus Cina dan 5-10 peratus India.
Dr Mohd Roslan berkata persampelan secara kluster pelbagai peringkat dibuat dengan menggunakan kaedah kajian tinjauan di lapangan secara rawak serta bilangan responden mencapai ketepatan keputusan 95 peratus.
Ia juga katanya kaedah terbaik dengan kebolehpercayaan tertinggi berbanding kaedah panggilan telefon atau pun kajian maya.
Populariti PN+BN sebagai gabungan yang berteraskan kaum majoriti iaitu Melayu dan disertai oleh Bumiputera Sarawak, Sabah dan parti-parti kaum Cina dan India dilihat mampu mengekalkan keharmonian dan baik untuk pertumbuhan ekonomi.
PAS integriti tinggi
Faktor penarik PN+BN juga berkait dengan persepsi rakyat kepada keunikan parti teras gabungan tersebut iaitu mengutamakan kebajikan rakyat (Bersatu), berintegriti tinggi (PAS) dan berpengalaman (Umno).
Bagaimanapun kata Dr Mohd Roslan, perkembangan politik mutakhir ini memperlihatkan timbul kemungkinan berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru.
Kata beliau, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru PN yang didaftarkan oleh dua parti teras Melayu Islam (Bersatu+PAS) dijangka memperolehi 72 kerusi, BN (51) dan PH (99).
Katanya, pertembungan tiga penjuru ini menatijahkan tiada mana-mana gabungan yang akan membentuk majoriti mudah 112 kerusi.
“Walaupun ada kemungkinan PN dan BN bersetuju untuk bergabung selepas PRU, namun jumlah kerusi akan turut berkurang dengan drastik berbanding dua penjuru,” ujarnya.
Kedudukan kerusi yang sama dengan situasi sekarang bakal terbentuk. Malah analisa tersebut berisiko berkeputusan lebih rendah untuk PN dan BN kerana ia bertentangan kehendak rakyat yang lebih meyakini gabungan yang stabil dan kukuh.
Di samping itu juga, kerusi Islam-Melayu juga tidak akan mencapai majoriti di mana paling tinggi mungkin sekitar 104 kerusi sahaja.
Beliau berkata, ia juga mengembalikan keputusan mirip PRU 14, di mana PH menjadi gabungan terbesar bertunjangkan DAP yang akan memiliki sekurang-kurangnya 41 kerusi.
“Tarik-menarik ahli parlimen akan berlaku dan akan merosakkan keyakinan rakyat serta pelabur dalam waktu kritikal untuk bersatu hati memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara pasca wabak Covid-19,” tambahnya.
Pengundi Sabah pilih integriti
Antara kesimpulan lain hasil daripada kajian lapangan termasuk persepsi pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mendapati ciri-ciri integriti tinggi, tiada salahguna kuasa dan tidak rasuah menjadi pilihan utama pengundi Melayu.
Pengundi Cina dan India pula meletakkan pemulihan ekonomi sebagai keutamaan dan diikuti oleh integriti tinggi, tiada rasuah dan salah guna kuasa.
PN+BN dilihat lebih diyakini sebagai gabungan yang berintegriti kerana ia gabungan baru yang tiada bebanan imej lepas.
“Dalam kajian lapangan, rakyat menyatakan kelebihan BN adalah pengalaman dalam berkerajaan, namun masih dianggap mempunyai isu integriti, rasuah serta salahguna kuasa.
“Persepsi ini turut dikaitkan dengan prestasi BN di Sabah yang bertanding lebih banyak kerusi berbanding PN, tetapi memperolehi kemenangan yang sangat kurang berbanding PN walaupun bersama-sama di dalam satu Gabungan Rakyat Sabah.
“Daripada 41 kerusi yang ditandingi, BN hanya memenangi 14 kerusi berbanding PN (17 kemenangan daripada 29 kerusi),” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2021




















