Gerakan sertai PN ke arah perpaduan kaum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menyambut baik penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) secara rasmi diterima sebagai salah sebuah parti anggota Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Malaysia mengejar keamaan dan kesejahteraan dengan melihat kepada tanggungjawab semua pihak dalam mencari keamanan dan keselesaan rakyat.

“Oleh itu, perkara ini tidak menjadi masalah kerana Perikatan Nasional (PN) itu sendiri merupakan nasional yang mesti merangkumi pelbagai jenis bangsa dan juga parti.

- Advertisement -

“Gerakan mewakili golongan Cina, jadi saya rasa tiada masalah kerana kita ke arah mewujudkan perpaduan bukan sahaja kaum Melayu tetapi semua kaum dalam negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat tapak pembinaan rumah Projek Jiwa Murni di Kampung Alor Durian, Wakaf Bharu, hari ini.

Terdahulu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia secara rasmi diterima sebagai salah sebuah parti anggota Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyaatan berkata, penyertaan Gerakan dalam PN amat dialu-alukan.

Beliau percaya langkah itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia.

Beliau memberitahu, kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN itu diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -