
BUDAYA buang ‘saka’ (sisa atau sampah) ke dalam air ni pernah jentik emosi rakyat Malaysia baru-baru ini apabila ada satu kereta menghampiri jambatan dan buang sampah ke sungai dirakam video oleh netizen dan menjadi tular di media sosial (medsos).
Beberapa hari selepas itu, kita dapat penjelasan adalah kerana alasan buang ‘saka’ . Menurut psyche Melayu, ‘saka’ merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan memeliharakan diri dan biasanya akan dibuang oleh generasi moden yang tidak bersedia untuk mewarisi lagi saka tersebut.
‘Saka’ PSR ini merujuk pada tanah atau selut dasar laut yang dikorek untuk membolehkan proses tambakan laut berlaku. Selut ini dibuang di satu tempat yang telah ditetapkan dalam kelulusan EIA.
EIA ini diluluskan pada 25 Jun 2019 oleh Dato’ Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar pada hari terakhir berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia, di bawah tanggungjawab Menteri Tenaga Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika itu Yeo Bee Yin.
EIA ini disediakan oleh Dr Nik Associates Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat perunding (consultant) yang dilantik oleh pelaksana projek SRS Consortium Sdn Bhd dan direstui oleh penggerak projek iaitu Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang.
Kelulusan pada hari terakhir perkhidmatan adalah suatu bentuk tindakan tidak beretika. Selain itu, kedudukan Menteri Alam Sekitar (pada ketika itu) yang ada kuasa ke atas JAS dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penggerak projek menimbulkan keraguan jelas.
Kedudukan 2 pihak utama ini mempunyai unsur konflik berkepentingan (conflict of interest) yang membolehkan Ketua Pengarah JAS berada dalam kedudukan sukar.
7 garis panduan yang dinyatakan oleh consultant EIA adalah;
(A) Berkaitan lokasi tapak.
(1) Kedalaman di tapak buangan sisa mesti lebih daripada 20 meter.
(2) Lokasi tapak pembuangan mestilah pada jarak wajar yang jauh daripada kawasan sensitif.
(3) Lokasi tapak pembuangan mestilah bukan dalam lingkungan penangkapan ikan (fishing ground), terumbu karang dan terumbu buatan (artificial reef) .
(B) Berkaitan kaedah pembuangan.
(4) Ketika membuang bahan yang dikorek daripada tempat tambak ke kawasan pembuangan sisa tambak yang ditetapkan, kelajuan kapal pengangkut mestilah berterusan gerakannya pada kelajuan 1 hingga 2 knot.
(5) Bahan sisa yang mahu dibuang mestilah dipisahkan (spread out) dalam lingkungan jarak wajar dalam kawasan yang ditetapkan.
(6) Tidak dibenarkan pembuangan longgokan satu tempat (no point disposal).
(7) Modeling ‘penyebaran’ (dispersion modeling) perlu dibuat untuk menentukan pergerakan menegak (vertical) dan melintang (horizontal) bagi bahan sisa yang dibuang.
Penjelasan seterusnya dapat difahami melalui gambarajah yang kami lampirkan.
Jadi, 7 garis panduan ini amatlah meragukan daripada sudut penyeliaan (monitoring) nanti. Kedudukan tapak pembuangan sisa adalah pada jarak 10 batu nautika sebelah Barat Pulau Pinang (Island) .
Siapakah mampu membuat pemantauan? Pegawai JAS? Pegawai APMM? Polis? Atau pihak-pihak terbabit yang ada saham meluluskan kerja-kerja pembuangan ‘saka’ secara sah di seperti di bawah akan naik bot nelayan membuat pemantauan;
(1) Ketua Menteri Pulau Pinang, yang kelihatan good guy?
(2) Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang sedang berunding memujuk nelayan dengan umpan pampasan?
(3) CEO , Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd yang menyatakan impak terhadap sektor perikanan dengan hanya memberikan poin-poin yang terpilih dan misleading?
(4) Bekas Ketua Pengarah JAS Malaysia yang menurunkan tandatangan kelulusan pada hari akhir bertugas sebelum bersara?
(5) Bekas Menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin yang merestui kelulusan EIA ini dibuat ketika beliau mempunyai kuasa?
Kesan alam sekitar daripada aturan arus dalam laut akan tiba. Sisa ini akan kembali merosakkan alam sekitar. Sisa ini bakal menjadi punca pencemaran. Bila berlaku pencemaran laut nanti, nelayan pasti akan menerima padah. Apakah mereka semua fikir nelayan dapat bersabar jika alasan cliché diulang lagi;
“Ini semua salah arus laut.”
Ketika itu, makian dan sumpahan daripada nelayan adalah layak untuk pemegang saham yang meluluskan aktiviti pencemaran secara sah ini!
ZIKRULLAH ISMAIL
Bukit Jambul Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 10/2/2021






















