Isu RUU355 ‘dipolitikkan’ pihak pembangkang – Dato’ Yahaya

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu menyifatkan isu Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355, yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘mainan’ politik.

Yang DiPertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu RUU355 kini diberi perhatian dalam situasi negara menghadapi pandemik Covid-19 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

- Advertisement -

Katanya, dalam keadaan demikian semua perkara tidak boleh dilakukan kerana badan Legislatif tergantung di bawah ordinan darurat itu.

Menurutnya, RUU355 itu ‘dipolitikkan’ kerana akta itu tidak melibatkan orang bukan Islam sebab hanya berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Isu RUU355 ini, isu yang dipolitikkan. Pada hal, isu ini hanya berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan hanya berkait dengan orang Islam sahaja.

“Tetapi, apabila isu ini dipolitikkan ianya telah menakutkan masyarakat bukan Islam bahawa akan dikuatkuasakan juga kepada orang bukan Islam.

“Jadi, mesti ada satu usaha yang berterusan sama ada anjuran kerajaan atau anjuran parti (PAS) supaya masyarakat bukan Islam boleh memahami isu yang ada ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di pejabat Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa isu RUU355 perlu ditangani dengan berhati-hati agar dapat difahami oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Saya yakin bahawa isu RUU355 ini, perlu ditangani dengan berhati-hati. Maksud saya, penjelasan kepada masyarakat terutama yang mewakili masyarakat bukan Islam, perlu diberikan penjelasan dengan sebaik-baiknya.

“Jika perkara (RUU355) ini belum dibawa lagi ke Parlimen, perlu ada ruang perbincangan dari masa ke semasa supaya masyarakat bukan Islam dapat memahaminya dengan baik apa yang terkandung dalam RUU355 ini,” jelasnya.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan di pejabatnya.

Mutakhir ini, PAS menerima kritikan yang berterusan dari pihak pembangkang PH yang ‘menyerang’ kepimpinan parti seolah-olah mengabaikan kepentingan RUU355 setelah berada dalam kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN). – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -