
KUALA LUMPUR: Ahli Akademik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan pengalaman yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku My Story: Justice In the Wilderness mengambil masa agak singkat berbanding tokoh-tokoh lain.
Ridhuan berkata, beliau cuba membandingkan memoir yang ditulis oleh pemimpin-pemimpin dunia yang telah bersara daripada jawatan seperti buku Tun Dr Mahathir, Tony Blair dan George W. Bush.

“Saya meneliti buku-buku tersebut, kenapa mereka menulis buku dan berapa lama jangka masa yang diambil untuk menghasilkan buku.
“Kalau kita tengok biasanya buku memoir dihasilkan selepas mereka tidak lagi berada dalam jawatan macam bekas Presiden Amerika, George W. Bush menulis buku selepas beliau bersara dan mengambil masa lebih kurang hampir 10 tahun baru buku dikeluarkan, macam Tun Dr Mahathir lima tahun ke atas.
“Maknanya biasa memoir ataupun biografi seseorang pemimpin itu akan ditulis mengambil masa yang agak lama sebab dia kena ingat untuk menceritakan balik apa yang yang telah dilalui sepanjang kerjaya dia,” ujarnya pada satu Wawancara Webinar Intelektual Negara: Pendedahan Tommy Thomas, pada Ahad.
Mengulas lanjut katanya, sudah tentu dalam hal itu motif menerbitkan buka memoir adalah untuk memberitahu kepada pembaca tentang kerjaya dan pengalaman sebagai seorang pemimpin besar dengan harapan apa yang dikongsikan dapat diterima seterusnya dijadikan teladan oleh pembaca.
Bagaimanapun, kata Ridhuan, apabila bercakap tentang buku memoir Tommy Thomas, ia diterbitkan dalam jangka masa yang agak singkat.
“Saya lihat buku memoir ataupun biografi ini ditulis dalam jangka masa yang agak singkat selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara yang berkhidmat lebih kurang 22 bulan sahaja iaitu tidak sampai dua tahun buku ini dihasilkan.
“Saya tidak kata ini salah, setiap orang berhak untuk menulis tentang memoir dia tetapi buku ini ditulis dalam jangka masa yang pendek dibanding dengan pemimpin dunia lain yang mengambil masa lebih dari lima tahun baru dapat hasilkan perkara ini,” jelasnya.
Selain dari mengambil masa yang pendek, tambahnya lagi, buku itu juga agak sedikit berbeza.
“Saya melihat ada motif-motif tertentu yang cuba diutarakan di sini. Sebab itu kalau kita tengok perkara-perkara yang diceritakan banyak ditambah dengan sebelum-sebelum itu sehinggakan dalam perkara ini dia banyak mengkritik tentang keadaan atau parti yang tidak sehaluan dengannya ‘selepas beliau meletakkan jawatan itu’, beliau melahirkan rasa kekecewaan dan sebagainya,” terangnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2021




















