
SAYA membuat Laporan Polis ini atas jawatan sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas telah menulis dan menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ (‘Buku’) lebih kurang pada 30.01.2021. Buku tersebut telah diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development Centre (‘SIRD’) dan GB- Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd.
Saya telah meneliti pandangan dan kandungan buku yang ditulis oleh Tommy Thomas yang mana telah membuat pelbagai pandangan berkenaan beberapa isu negara. Tujuan saya membuat Laporan Polis ini adalah untuk melaporkan perkara- perkara seperti berikut:
Isu berkaitan Tun Abdul Razak dan peristiwa 13 Mei 1969
Pertama, Bab 6 (May 13 Riots) dan Bab 7 (England) dalam buku tersebut mengandungi petikan-petikan yang berbaur hasutan dan boleh membawa kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Merujuk kepada Bab 6 (May 13 Riots), Tommy Thomas telah membuat tuduhan ke atas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak di mana Tommy Thomas menyatakan bahawa Tun Abdul Razak adalah penggerak utama dan penyebab Peristiwa Hitam 13 Mei 1969.
Di dalam bab tersebut, Tommy Thomas juga menyatakan bahawa Tun Abdul Razak telah menyebabkan Peristiwa 13 Mei berlaku untuk kepentingan politik dan peribadi beliau. Tommy Thomas juga telah menyatakan bahawa Peristiwa 13 Mei merupakan satu gerakan kudeta (‘coup d’état’) yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak untuk menjatuhkan kepimpinan Tunku Abdul Rahman pada ketika itu.
Tommy Thomas juga menyatakan dalam bab itu bahawa gerakan kudeta tersebut dimulakan selepas Tun Abdul Razak mengetahui bahawa beliau menghidapi penyakit Leukimia. Selain itu, Tommy Thomas juga menyebut bahawa Tun Abdul Razak bersama- sama dengan Datuk Harun Idris dan Umno telah secara langsung atau tidak langsung menyokong dan menggalakkan orang Melayu untuk melakukan pembunuhan dan kekejaman terhadap kaum bukan-Melayu, terutamanya kaum Cina.
Tommy Thomas juga seolah-olah menuding jari dan mengatakan bahawa orang Melayu adalah antara penyebab kepada peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Seterusnya, Tommy Thomas juga menyatakan bahawa untuk memastikan kejayaan gerakan kudeta tersebut, Tun Abdul Razak mengambil langkah untuk mengisytiharkan Darurat pada ketika itu dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diterajui oleh Tun Abdul Razak sebagai Pengerusi.
Tommy Thomas juga menyebut bahawa MAGERAN yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak mempunyai kuasa yang tinggi melebihi kuasa Parlimen dan Kabinet (yang mana telah dibubarkan). Menerusi penulisan tersebut, Tommy Thomas juga menyatakan bahawa Umno telah melibatkan pihak polis dan angkatan tentera menjadi sebahagian daripada konspirasi yang membawa kepada rusuhan 13 Mei dan membantu gerakan kudeta oleh Tun Abdul Razak.
Tommy Thomas juga menyatakan bahawa tiada sebarang siasatan dan inkuiri pernah dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar rusuhan 13 Mei tersebut dan berkenaan ini, Tommy Thomas turut menyatakan bahawa Tun Abdul Razak dan penyokong politik beliau menyekat dan menyembunyikan punca sebenar rusuhan 13 Mei daripada masyarakat umum.
Selanjutnya, di dalam Bab 7 (England), Tommy Thomas telah dengan niat jahat menyatakan bahawa Cawangan Khas Polis telah menyusupi Sekolah Victoria Institution of Kuala Lumpur atas sebab tidak berpuas hati dengan cara Encik Murugasu (Pengetua) dalam mentadbir sekolah tersebut yang berlandaskan prinsip meritokrasi semata-mata.
Tommy Thomas turut menyatakan bahawa rusuhan Mei 1969 tersebut telah menyebabkan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (‘National Economic Policy’) yang mana telah memberi manfaat hanya kepada orang Melayu tanpa mengambil kira prinsip meritokrasi.
Saya menegaskan bahawa penulisan Tommy Thomas yang berkaitan itu adalah sama sekali tidak benar dan bukan sepertimana yang dinyatakan dalam fakta-fakta sejarah. Penulisan Tommy Thomas berkenaan Peristiwa 13 Mei 1969 dan Tun Abdul Razak adalah berbaur hasutan seiring dengan peruntukan di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948 dan mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia dan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Penulisan yang bersifat tidak sensitif tersebut juga dilihat sebagai tohmahan dan memfitnah Tun Abdul Razak serta merendahkan kredibiliti Tun Abdul Razak sebagai bekas pemimpin negara dan bekas Presiden Umno dan adalah suatu kesalahan seiring dengan seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Penyampaian maklumat rahsia oleh Tommy Thomas
Selain itu, melalui penulisan buku tersebut, Tommy Thomas dilihat telah mendedahkan sejumlah besar maklumat yang diperolehi beliau dalam tempoh perkhidmatannya sebagai Peguam Negara Malaysia. Sebagai contoh, Tommy Thomas telah menyentuh dan memberi komen berkenaan prosedur pendakwaan dan kertas-kertas siasatan yang berada di bawah bidangkuasa beliau.
Saya percaya sebahagian daripada maklumat yang ditulis di dalam buku tersebut adalah maklumat yang dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak seharusnya didedahkan kepada masyarakat umum. Oleh itu, saya percaya bahawa Tommy Thomas telah secara salah menyampaikan maklumat rahsia rasmi menerusi penulisan beliau di dalam buku tersebut.
Di dalam buku tersebut, Tommy Thomas bukan sahaja memperlekehkan Timbalan-timbalan Pendakwaraya, malah keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang dia sendiri pernah diterajui sebagai Peguam Negara. Ini boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara. Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan dan faedah pencen adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutamanya apabila ia datang dari Ketua Jabatan di jabatan tersebut iaitu sebagai Peguam Negara.
Atas sebab-sebab di atas, saya membuat laporan ini untuk pihak Polis Diraja Malaysia memulakan siasatan ke atas Tommy Thomas, khususnya di bawah seksyen 3 dan 4(1) Akta Hasutan 1948, seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan seksyen 500 Kanun Keseksaan.
DATUK SERI AHMAD MASLAN
IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur
5 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 5/2/2021




















