‘Betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam pelantikan Peguam Negara.

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata demikian susulan kontroversi buku Tan Sri Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness yang telah mengundang pelbagai reaksi pemimpin dan masyarakat.

Menurut beliau, buku tersebut telah memaparkan betapa maha berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.

- Advertisement -

“Perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara,” katanya dalm satu kenyataan media, hari ini.

Justeru itu, katanya, pelantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula.

“Malaysia mesti mempunyai tatacara pelantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti dihadkan.

“Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan pendakwa raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.

“Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan kearah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati dan berwibawa,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -