
KUALA LUMPUR: Sinergi Mahasiswa Islam (SMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menangguhkan kemasukan semula ke kampus ke satu tarikh yang lain setelah situasi Covid-19 stabil.
Pengerusinya, Muhammad Alif Danieal Ismail berkata ia susulan penularan wabak Covid-19 yang saban hari terus meningkat.
“Sehingga ke saat ini, jumlah kes positif Covid-19 masih lagi berada pada paras yang membimbangkan iaitu empat angka sehari.
“Meskipun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan pengisytiharan Darurat, namun trend graf penurunan jumlah kes positif masih lagi belum menunjukkan tanda-tandanya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memaklumkan bahawa kemasukan semula pelajar ke kampus adalah seawal 1 Mac ini untuk membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara hibrid.
Mengulas lanjut, Alif berkata mengambil kira ruang lingkup keberadaan dan asal mahasiswa itu sendiri yang datang dari segenap pelusuk di seluruh negara lalu mereka semua akan dikumpulkan dalam sebuah kampus yang sama.
Ini katanya, secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya penularan Covid-19 yang berpunca daripada mahasiswa kerana besar kemungkinan sebahagian daripada mereka adalah pembawa virus dari tempat kediaman masing-masing.
Berikutan itu, pihaknya mencadangkan agar pihak KPT mengeluarkan keputusan rasmi berhubung kemasukan pada semester yang akan datang selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Februari 2021 ini.
Ia bagi memudahkan mahasiswa untuk membuat keputusan terutama melibatkan penempatan rumah sewa dan sebagainya sekaligus dapat mengelakkan situasi yang sama berlaku ketika pembukaan semester bulan Oktober baru-baru ini, katanya.
Selain itu, sesi pembelajaran secara dalam talian diteruskan pada semester hadapan dengan mengambil kira keburukan yang lebih besar bakal dihadapi sekiranya kemasukan secara fizikal diteruskan berdasarkan hasil kajian yang dibuat oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menunjukkan hampir 25,000 mahasiswa mahukan sesi pembelajaran diteruskan secara dalam talian.
Manakala, pihak KPT juga wajar meneruskan bantuan-bantuan kemudahan yang telah diberikan sebelum ini seperti bantuan pelan data internet dan menambahkan lagi bantuan yang lain demi memastikan mahasiswa mampu mendapat kualiti pendidikan yang sama meskipun secara dalam talian.
Namun, kata Alif sekiranya pihak KPT masih lagi bertegas untuk meneruskan kemasukan mahasiswa ke kampus bermula Mac ini, maka pihaknya mencadangkan tiga perkara demi kemaslahatan mahasiswa.
Antaranya menampung bayaran harga ‘swab test’ sebanyak 60 peratus untuk mahasiswa bagi memastikan seluruh mahasiswa melakukan ‘swab test’ ini sebelum dibenarkan berada di kampus.
Dalam pada itu, memastikan proses kepulangan semula mahasiswa ke kampus terutamanya kolej kediaman adalah secara giliran mengikut zon/negeri dalam tempoh yang bersesuaian.
Selain itu, hanya pelajar berkeperluan khas sahaja dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran secara fizikal sepenuhnya manakala pelajar yang lain adalah secara hibrid dengan menjaga SOP yang sebetulnya.
“Kami berharap pihak KPT memandang serius akan nasib mahasiswa pada era pandemik ini dan melibatsamakan perbincangan bersama wakil-wakil mahasiswa bagi memastikan keputusan yang dibuat dapat memberikan ‘win-win situation’ kepada kedua-dua pihak,” jelas Alif lagi. – HARAKAHDAILY 1/2/2021




















