Mangsa lemas bot karam ditemui

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Mayat seorang lelaki yang dipercayai salah seorang mangsa bot karam yang hilang dalam tragedi berhampiran perairan Pulau Perhentian empat hari lepas, dijumpai petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, mangsa dijumpai orang awam terapung-apung di lokasi 8.3 batu nautika barat daya Pulau Perhentian jam 5.30 petang.

“Mayat mangsa dibawa menggunakan kapal Maritim didaratkan di Jeti APMM malam tadi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

- Advertisement -

Pada kejadian tersebut, empat rakan mereka terselamat selepas berenang ke Pulau Perhentian dengan mengambil masa 14 jam.

Manakala mangsa berenang bersendirian dengan meninggalkan rakan-rakan dalam keadaan ribut, hujan lebat dan ombak besar selepas terjun daripada bot yang hampir tenggelam.

Bot nelayan yang tenggelam tersebut dikendalikan tekong Tuan Azhar Tengku Long, 46, sebelum itu dimasuki air dan karam akibat dipukul ombak ketinggian antara 3 hingga 4 meter pada kejadian 1 Januari lepas.

Tiga lagi mangsa yang terselamat Norizan Yusof, 45, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28. Manakala Ashaari Leh, 46 hilang pada kejadian tersebut.

Muhd Nur Syam berkata, mayat mangsa diserah kepada polis bagi tujuan bedah siasat di Hospital Daerah Besut. Mayat mangsa kemudian diserah kepada keluarganya di Kampung Gong Keding, Pasir Puteh.

Menurutnya juga, seramai 83 anggota pelbagai agensi melancarkan gerakan mengesan mangsa dengan menggunakan aset laut dan udara sepanjang operasi mencari dilancarkan. – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -