Anak-anak Parlimen Masjid Tanah tidak akan tercicir

- Advertisement -

MASJID TANAH: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata bahawa beliau tidak akan membiarkan walau seorang pun anak-anak Masjid Tanah tercicir dalam bidang pelajaran.

“Anak-anak kita mesti sekolah. Mesti sama-sama dapat ilmu. Dan kita akan menganjurkan program-program sosial, program-program pendidikan.

“Kita akan buat tuition, kita akan buat kelas bahasa Inggeris, kita akan buat kelas agama untuk anak-anak ini supaya mereka equip diri mereka, tambah nilai diri mereka,” ujar beliau.

Ikrar ini dilafazkan Mas Ermieyati ketika berucap merasmikan program sumbangan Jom Kembali Ke Sekolah peringkat Parlimen Masjid Tanah yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

- Advertisement -

Program ini melibatkan sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat untuk 500 orang pelajar yang mana setiap seorang menerima peralatan dan uniform sekolah bernilai RM150 dengan jumlah peruntukan RM75,000 selain peruntukan tambahan daripada Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah sendiri untuk 200 orang pelajar lagi yang menerima peralatan dan uniform sekolah bernilai RM180 setiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM36000.

Tambah Mas Ermieyati lagi, selain daripada program pendidikan, aktiviti sampingan sebagaimana program seni dan memasak juga penting untuk didedahkan kepada anak-anak kerana ia boleh memberikan nilai tambah kepada mereka untuk bekalan ketika mereka memasuki alam pekerjaan nanti.

“Jangan hentikan bakat anak-anak kita kerana ianya satu hari nanti bakat ini yang akan memberikan pendapatan kepada mereka.

“Mana tahu kalau ada yang berbakat memasak dan sebagainya. Kita tengok bagaimana Danish Harraz (Youtuber), dia anak cilik, baru berusia tak sampai sekolah menengah, tetapi sudah mendapat pendapatan sendiri dengan membuat kelas-kelas masakan dan pertunjukan masakan,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang aktiviti pertandingan Chef Cilik dan Inang Challange yang turut diadakan di dalam program ini.

Program Chef Cilik ini disertai oleh sebelas orang peserta daripada kategori sekolah rendah dan sembilan orang peserta daripada kategori sekolah menengah.

Johan bagi Kategori Sekolah Menengah disandang oleh adik Muhammad Badri Shah Mohammad Sahir dengan menu masakannya nasi goreng tomyam, sementara bagi Kategori Sekolah Rendah pula johan disandang oleh adik Khairunnur Humairah Baharuddin dengan masakannya nasi goreng kerabu.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, sijil penyertaan dan goodies.

Sementara itu, bagi pertandingan Inang Challange pula, johan disandang oleh adik Nur Fariesya Mohamad, naib johan disandang oleh pasangan adik, Alya Nabihah Nasri dan adik Mohd Yusri Huslani Abdullah, sementara tempat ketiga disandang oleh adik Muhd Najmi Nor Afendi.

Bagi acara Inang Challenge ini, johan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, naib johan RM300 dan tempat ketiga pula menerima RM200 selain sijil penghargaan dan goodies.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman menyifatkan pemberian sumbangan bantuan persekolahan ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang tidak berkemampuan.

“Kita tahu sekarang ini ramai rakyat yang terkesan dengan COVID-19. Ramai orang berada dalam keadaan tidak cukup sekarang ini.

“Tapi anak hendak sekolah. Banyak belanja untuk anak-anak mula masuk sekolah ni. Bukan sikit belanjanya. Mereka ini sangat perlukan bantuan. Jadi sumbangan ini sangat bermakna.

“Saya melihat YB Mas Ermieyati (Ahli Parlimen Masjid Tanah) ini memang sangat mengambil berat soal rakyat Masjid Tanah. Selama saya berurusan dengan YB Mas ni memang soal kebajikan rakyat dia memang sangat ambil berat,” ujar beliau.

Menurut Imran lagi, Yayasan Bank Rakyat juga telah memainkan peranan besar dalam membantu rakyat melalui program sumbangan seperti ini.

“Yayasan Bank Rakyat ini adalah contoh CSR daripada organisasi korporat besar seperti Bank Rakyat yang dapat membantu orang ramai.

“Kita berharap semoga Bank Rakyat akan memperolehi lebih banyak keuntungan dan dapat bantu rakyat lebih banyak lagi. Insya Allah,” ujar Ustaz Imran ketika ditemuramah Harakahdaily.

Di samping bantuan persekolahan, dalam majlis yang sama itu, Yayasan Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan bernilai RM61440 kepada Madrasatul Quran Kampung Seri Tanjung untuk program pendidikan.

Turut hadir Pengurus Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat Parlimen Masjid Tanah, Mohd Mukhti Abd Rahman, Pengarah Jabatan Kesenian Negara Negeri Melaka, Ezlina Alias, Penolong Pegawai Daerah Alor Gajah, Mohd Azlan Zainal, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Ustaz Jamaluddin Ahmad, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah, Sodikin Md Ali.

Sementara itu Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Dato’ Mohd Rafiq Naizamohideen pula hadir untuk memukul gong sebagai simbolik bermulanya pertandingan Chef Cilik dan Inang Challenge sekitar jam 8.30 pagi.

Beliau sebelum itu bersama dalam program kayuhan basikal ‘Fun Ride’ bersama-sama dengan orang ramai menyantuni para pengundi sekitar Masjid Tanah dan mengedarkan facemask percuma. – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -