Nanas cobek beri pulangan lumayan

- Advertisement -

BACHOK: Penanaman nanas di tanah terbiar di kawasan seluas 9.12 ekar yang dimiliki Kolej Vokasional Bachok di sini bakal memberi pulangan lebih RM1.2 juta Mei hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek tersebut dilaksanakan dengan usahasama syarikat Kota Eze Sdn Bhd.

Katanya, penanaman dua varieti Milie Dilard 2 (MD2) dan Ananas Comosus atau nanas cobek dilakukan secara berperingkat melibatkan 1.6 hektar fasa pertama.

- Advertisement -

“Bagi tanaman fasa pertama, sebanyak 30,000 pokok nanas cobek dan 17,000 pokok MD2 ditanam di kawasan Kolej Vokasional bermula Mac lepas.

“Hasilnya pula pada Mei 2021 dengan jangkaan setiap pokok akan mengeluarkan hasil satu hingga dua kilogram dengan harga antara RM10 ke RM13 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek tanaman nanas di Kolej Vokasional Bachok Tangok di sini, semalam.

Turut hadir, ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin; ADUN Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim; Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan Mohd Zamani Ab Ghani; Pengarah Kolej Vokasional Bachok Wan Afthanorhan Wan Aftuluddin dan Pengarah Urusan Kota Eze, Dato’ Zulkifli Abdullah.

Che Abdullah juga berkata, selain keuntungan, limpahan projek itu turut memberi peluang penduduk tempat mendapat pekerjaan.

Menurutnya juga, kerajaan menyasarkan kawasan seluas 60 hektar akan ditanam nanas di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.- HARAKAHDAILY 29/12/2020

- Advertisement -