Peraturan baru jejas pengusaha bot laut dalam

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Ketiadaan awak-awak nelayan asing yang sebelum ini bekerja di atas bot laut dalam tempatan menyebabkan ramai pengusaha terbabit mengalami kerugian.

- Advertisement -

Kira-kira 400 pengusaha nelayan laut dalam di negeri ini mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM100 juta dalam tempoh lima bulan kerana gagal beroperasi.

Seorang pengusaha bot laut dalam Hazim Ramli berkata, nelayan asing yang tamat tempoh buku pelaut dan permit bekerja perlu mengikut prosedur baru termasuk memiliki pasport dan prosedur kuarantin untuk menyambung semula kerja.

Katanya, pengusaha bot laut dalam bakal gulung tikar sekiranya masalah tersebut gagal diselesaikan termasuk menyaran kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Sehingga kini hanya 20 bot laut di Kelantan masih mampu bertahan. Bayangkan daripada 100 bot laut dalam di Tok Bali hanya 10 bot yang masih meneruskan kerja menangkap ikan.

“Mereka juga akan tersadai apabila permit lama tamat. Keadaan ini akan turut memberi kesan kepada industri hiliran seperti kilang keropok dan ikan kering selain ratusan pekerja industri hiliran,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau menyertai sekumpulan nelayan menyampaikan memorandum bantahan penguatkuasaan PLKS kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh untuk disampaikan kepada kabinet.

Turut hadir ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim. Hadir sama pengusaha bot tempatan, pekerja industri hiliran, pemborong dan peniaga runcit ikan.

Seorang lagi pengusaha bot laut dalam, Nazari Yusof berkata, dua bot pukat tundanya tersadai sejak tiga bulan lalu apabila tamatnya tempoh permit nelayan asing. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -