PAS gesa SKMM bertindak tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas pengarah kontroversi, Namewee yang didakwa cuba memburukkan imej Malaysia di luar negara melalui filem arahannya, Babi.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee sentiasa mencetuskan kontroversi untuk meraih publisi produk-produk seni yang dihasilkannya sejak belasan tahun dahulu.

Setelah filem tersebut diharamkan penayangannya di Malaysia, beliau cuba untuk memasuki pasaran luar negara dan berjaya menembusi pasaran Taiwan pada 20 November lalu.

- Advertisement -

Lajnah Seni dan Kebudayaan PAS, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, filem ini perlu diambil tindakan segera kerana ia mampu mencetuskan perasaan benci dan skeptikal antara kelompok kaum di negara ini serta ia tidak bertepatan dengan realiti negara kita.

“Sebagai contohnya, penggunaan perkataan di poster yang digunakannya seperti ‘Melayu bodoh, India keling dan Cina babi’ adalah tindakan untuk memprovokasi penonton.

“Apa yang ingin dipaparkan melalui filemnya itu kononnya menggambarkan realiti yang terjadi di Malaysia, di mana tragedi tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di Selatan tanah air pada tahun 2010.

“Hakikatnya, tidak ada satu kaum pun yang ditindas di negara kita, kalau kita lihat realitinya taikun-taikun ataupun golongan korporat dan kelompok kapitalis yanng menguasi ekonomi bukan bangsa Melayu.

“Walaupun begitu, semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan damai, sebab itu pentingnya negara kita mempertahankan perpaduan antara kaum, integrasi etnik, meskipun negara kita mempunyai kepelbagaian etnik mahupun kaum,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Katanya, tindakan pengarah Cina itu (Namewee) adalah sebagai strategi untuk menjadikan filem itu sensasi dan diluar stigma hasil-hasil seni yang lain.

“Mereka cuba untuk meraih publisiti awal kononnya trailer yang dipaparkan menggambarkan realiti yang sebenar.

“Apapun bentuk publisiti sama ada positif atau negatif, hitam atau putih, ia tetap akan meletupkan sesebuah karya atau produk seni,” tambahnya.

Walau bagaimanapun beliau memaklumkan, pelbagai pihak telah mengambil tindakan antaranya badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pemuda Perikatan Nasional (PN) dan Pemuda Wilayah Persekutuan dengan membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan.

“Saya mohon agar pihak kerajaan terutama kepada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) untuk tidak membenarkan izin tayang filem ini di negara kita selama-lamanya.

“Kedua, pihak SKMM perlu menyekat ruang di alam siber bagi cuplikan atau keratan-keratan filem ini daripada berlegar di internet kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam dan perpaduan kaum yang kita bina semenjak tahun 1957,” cadangnya.

Tegas beliau, tragedi dan peristiwa melibatkan perpaduan kaum yang pernah terjadi sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dengan menghormati sensitiviti agama dan perkauman yang ada di negara ini.

“Cukuplah dengan tragedi 13 Mei 1969 yang meragut banyak nyawa dan kemusnahan harta benda, kita juga hampir bergaduh dengan isu kematian anggota bomba Muhammmad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia semasa bertugas ketika rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua tahun lalu.

“Kita juga hampir bergaduh di dalam peristiwa Kampung Rawa di Pulau Pinang dan pernah bergaduh tetapi sempat di kawal oleh pihak berkuasa di dalam tragedi Taman Medan, Petaling Jaya pada tahun 2001, sudah cukuplah sejarah yang ada dan jadikanlah pengajaran,” katanya dengan harapan agar hiburan mestilah menyatupadukan bukan menjarakkan hubungan antara kaum. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -