Kelantan bina rumah sejuk beku durian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merancang membina dua rumah sejuk beku bagi menyimpan durian yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, dua jajahan dipilih untuk dibina rumah sejuk beku tersebut.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan tahun hadapan dirancang di jajahan Jeli dan Tanah Merah kerana mempunyai kebun durian yang luas.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang sesuai di Tanah Merah dan Jeli dengan mengambil kita tempat tersebut paling banyak terdapat tanaman durian.

“Rumah sejuk beku itu akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan hasil durian bagi membantu petani, selain untuk mengawal harga serta lambakan durian di pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis graduasi program ‘Farmers Field School‘ (FFS) tanaman durian di Pusat Latihan Pertanian Lundang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Rohani Jusoh.

Pada program itu seramai 20 pekebun durian menerima sijil dan enam daripada mereka dipilih sebagai peserta terbaik kursus tersebut yang bermula September lalu. – HARAKAHDAILY 23/12/2020

- Advertisement -