
RANTAU PANJANG: Persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menimbang permohonan kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan tebatan banjir disambut rasa syukur.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, tebatan banjir fasa dua dan tiga akan dipercepatkan berbanding jadual asal.
Katanya, permohonan itu sudah diangkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kos untuk pembinaan tebatan banjir fasa kedua sahaja menelan belanja RM1.5 bilion.
“Fasa satu sekarang sedang dalam pembinaan melibatkan 70 peratus,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Sebelum itu, Muhyiddin melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dekat sini.
Menteri Besar juga berkata, makluman perkara itu disampaikan kepada Perdana Menteri ketika taklimat banjir yang diadakan di sekolah berkenaan.
“Reaksi Perdana Menteri begitu positif terhadap permohonan kita supaya tebatan banjir fasa kedua dan ketiga diperawalkan berbanding jadual asal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/12/2020




















