
KALAU ikutkan hasrat PAS tidak mahu sama sekali melihat Melayu Muslim ini berpecah. Biarlah kita duduk bersama dalam persepakatan agama Allah. Tidak kira PAS, Umno, atau BERSATU. Kalau boleh PAS mahu PKR, PAN dan Melayu Muslim dalam DAP itu tinggalkanlah DAP dan mana-mana aliran politik Sekular. Kita semua kan telah dibekalkan dengan panduan hidup yang bernama Islam. Maka perlu apa lagi kita teraba-raba mencari berhala Sekular itu.
Namun apakan daya. Perpecahan berlaku juga. Kerana tidak semua manusia Muslim itu punya nawaitu tunduk kepada Allah. Mereka yang tunduk kepada nafsu yang gilakan kuasa, harta dan pangkat akan merasakan Islam ini menyekat mereka dari memperolehi semua itu. Lalu bercerai berailah mereka membawa diri masing-masing memburu nafsu. Maka nafsu menjadi tuhan-tuhan baru yang mencorak hidup mereka.
Untuk tujuan besar itu PAS panggil Umno duduk bersama dalam MN. Lupakan sengketa lama yang hanya menguntungkan DAP dan musuh-musuh Islam. Oleh kerana BERSATU yang waktu itu bertindak meninggalkan PH, maka PAS ajak BERSATU bersama PAS dan Umno. Peringkat awal Umno tak mahu terima BERSATU. Dengan itu PAS ikat persahabatan dengan BERSATU. Biarlah PAS menyediakan batang tubuhnya menjadi jambatan kepada BERSATU dan Umno. PAS lakukan itu semua demi penyatuan ummat Melayu Islam ini. Di samping menghalang penguasaan PH atau DAP kembali berkuasa. Orang kata PAS parti kecil. Dalam MN pun PAS kecil begitu juga dalam PN. Namun si kecil ini punya jiwa yang besar. Sebesar bukit Uhud yang menyaksikan pertarungan antara iman dan kufur di zaman Nabi S.A.W.
Untuk permulaan, kalaupun Umno tak dapat terima BERSATU dan BERSATU tidak dapat terima Umno, namun memadailah kita dapat disatukan persetujuan agar persahabatan MN dan PN yang di tengah-tengahnya PAS itu dapat bersetuju untuk tidak berlaku pertandingan 3 penjuru dalam PRU15 nanti. Kerana jika berlaku juga pertandingan 3 penjuru maka keputusan PRU14 akan berulang kembali dalam PRU ke-15 nanti.
Mutakhir ini kita menyaksikan Umno mula retak-retak. Setidaknya telah wujud tiga kem dalam Umno. Satu kem cenderung bergabung dengan Anwar dan PH. Satu kem cenderung kepada idea Tun dan Ku Li dan satu kem mahu pertahankan MN bersama PAS. PAS sedih menyaksikan itu. Kerana PAS tidak mahu melihat Umno lemah sebagaimana PAS mahu dirinya terus gagah. Dalam banyak ceramah saya bersama pimpinan Umno di seluruh negara, saya selalu tegaskan. Jika PAS melihat Umno jatuh dan lemah, maka papahlah Umno. Kerana jika Umno lemah, tidaklah banyak kebaikannya jika PAS berkerjasama dengan rakan yang lemah. Begitu juga Umno, jika lihat PAS lemah maka bantulah PAS. Kerana jika PAS lemah, tiada hebatnya Umno berkerjasama dengan orang yang lemah. Akhirnya wujudlah sebuah muafakat yang lemah. Untuk muafakat ini kuat maka PAS dan Umno kena sama-sama kuat dan gagah.
Seboleh mungkin saya tidak mahu melihat Umno pecah dan meninggalkan MN. Namun jika takdir berlaku juga maka saya doakan agar majoriti Umno masih bersama MN. Kerana di sini saudara sebangsa dan seagama dengan anda iaitu seluruh ahli PAS masih setia dengan Piagam MN yang telah dimeterai. Kami yang berada di bawah ini mengharapkan pihak yang di atas sana elok-elok lah atur strategi. Jangan tamak, jangan khianat, mandat dan hasrat ahli, jangan rabun mata, dan jangan main silap mata.
USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/12/2020




















