Air: Rakyat Perlis sokong tuntutan Kedah

- Advertisement -

KANGAR: Desakan kerajaan Kedah supaya Pulau Pinang membayar caj penggunaan air mentah dari negeri itu turut disokong rakyat Perlis.

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, sumber air daripada Sungai Muda disalur ke Pulau Pinang bagi kegunaan rakyat negeri itu sejak dahulu lagi.

- Advertisement -

Katanya, hak sumber air tersebut adalah milik Kedah yang boleh dinafikan lagi.

“Tambahan pula penggunaan air di Pulau Pinang dari sumber Sungai Muda melebihi penggunaan air di Kedah sendiri,” ujarnya di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan Kedah mendesak Pulau Pinang membayar caj penggunaan sumber air mentah yang diambil dari Sungai Muda.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air dari Sungai Muda setiap hari iaitu 1,100 juta liter sehari (mld).

Sedangkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah mengenakan caj kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld).

Bagaimanapun, tuntutan kerajaan Kedah ditolak kerajaan Pulau Pinang dengan alasan mengambil sumber air Sungai Muda yang mengalir ke sempadan negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilapor berkata, negeri itu tidak akan tunduk terhadap tuntutan kerajaan Kedah yang mendesak PBAPP membayar sebanyak RM50 juta setahun bagi caj air mentah di kawasan Ulu Muda.

Menurutnya juga, Pulau Pinang menggunakan air sungai dari bahagian sempadan negeri itu sejajar dengan hak antarabangsa.

Mohd Ridzuan berkata, beliau sangat bersetuju tuntutan kerajaan Kedah kerana air yang digunakan di Pulau Pinang diambil dari Kedah.

“Sumber tadahannya terhasil dari kawasan Ulu Muda yang dipelihara kerajaan Kedah sejak tahun 1960-an lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -