Isu TH: Kerajaan buat keputusan bijak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menarik semula keputusan penjualan anak syarikat TH Plantations merupakan satu tindakan berani dan bijak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kelangsungan pemilikan aset negara daripada jatuh ke tangan golongan kapitalis, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah dikaji semula kepentingan sektor perladangan itu dalam usaha memacu ekonomi Malaysia yang lebih mampan meskipun ekonomi dunia sedang bergelut akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Jelasnya, pasaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat membuktikan sektor perladangan memberi sumbangan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Manakala, kenaikan harga MSM itu juga didorong peningkatan permintaan luar negara terutama dari China apabila ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur di negara itu.

Tambah beliau, sawit masih industri utama negara dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar empat hingga lima peratus.

Justeru itu, walaupun pulangannya tidak lumayan seperti industri lain, namun risiko industri sawit adalah rendah dan sentiasa ada permintaan.

“Keperluan pasaran global kepada komoditi seperti kelapa sawit tidak dapat ditolak kerana kepelbagaian penggunaan diperluaskan.

“Tambahan, Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar utama sawit dunia dan permintaan dari negara luar mesti dipenuhi.

“Saya mencadangkan kerajaan mempertingkatkan lagi Research and Development (R&D) bagi mempelbagaikan produk yang berasaskan sawit.

“Di samping itu, pemberian insentif kepada pengusaha sawit juga boleh dipertimbangkan bagi menggalakkan lagi pengeluaran sawit,” ujarnya ketika dihubungi Harakah semalam.

Beliau menambah, tindakan wajar kerajaan ini juga mampu mencipta banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mampu mengurangkan penggunaan buruh asing akibat ancaman wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu beri insentif kepada rakyat tempatan untuk bekerja di sektor tersebut dalam masa yang sama dapat mengurangkan pengaliran keluar ringgit jika menggunakan tenaga pekerja asing dan secara tidak langsung beban kewangan akibat pandemik Covid-19,” saran beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/12/2020

- Advertisement -