
PAS KEDAH ingin memberi respons mengenai gesaan YB Lim Kit Siang, Penasihat DAP agar YAB Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor diganti dengan ADUN yang lain kerana didakwa tidak layak mentadbir masyarakat majmuk. [1]
Gesaannya merujuk kepada penulisan seorang penulis kontroversi berfikiran Liberal iaitu Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi yang memberi 4 hujah ‘dosa’ yang dilakukan oleh MB Kedah berhubung isu perobohan kuil di Kuala Kedah baru-baru ini. [2]
PAS Kedah suka mengingatkan YB Lim Kit Siang agar memahami isu sebenar di sebalik arahan perobohan kuil tersebut dan tidak menyondol membabi buta bertujuan untuk mengalih kesalahan menceroboh hak milik orang lain yang jelas dilarang oleh semua bangsa dan agama!
Amat menjengkelkan seorang pemimpin yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebenaran tetapi kerana ingin meraih populariti politik sanggup menidakkan tindakan salah penjenayah lalu menyalahkan penguatkuasa yang menjalankan undang-undang atas prinsip ‘rule of law’. Pendirian YB Lim Kit Siang ini jelas seperti peribahasa ‘Ibarat negeri berubah rasam, ibarat tahun berubah musim.’
Selaku warganegara Malaysia, sepatutnya pemahaman mengenai pepatah, perumpamaan, peribahasa, kata bidalan dan kiasan serta simpulan bahasa di dalam Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlulah dihayati oleh semua bangsa. Janganlah malu untuk bertanya kepada mereka yang arif sekiranya kita tidak memahaminya bak peribahasa ‘daun nipah dikatakan daun labu.’
PAS Kedah menegaskan bahawa kami konsisten menentang diskriminasi perkauman serta penghinaan agama. Kami sentiasa menjunjung tinggi Perlembagaan Negara dan kedaulatan undang-undang yang termaktub di dalam negara ini.
“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”
USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
23 Rabiul Akhir 1442H | 9 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 9/12/2020




















