Doktor antivaksin kena gantung lesen

- Advertisement -

TULISAN ini bukan nak jatuhkan maruah sesiapa, tetapi nak dijadikan pengajaran dari negara-negara lain berkaitan dengan segelintir doktor yang terkeluar dari prinsip perubatan arus perdana negara.

Kita lihat ketegasan negara UK yang telah menggantung lesen doktor yang lantang menuduh COVID-19 itu plandemik, wabak penyakit COVID-19 sama dengan demam selesema biasa dan pelbagai tuduhan lagi. Malah doktor ini telah menjadi rujukan antivaksin seluruh dunia atas video-video yang disebarkan olehnya dan kumpulannya. Ahli kumpulan yang lain itupun antivaksin juga yang menghadapi tindakan disiplin hampir sama di negara masing-masing.

- Advertisement -

Sedangkan seluruh dunia bergelut dengan kes yang semakin meningkat. Kematian juga bertambah setiap jam. Apabila wujudnya pemikiran dan kefahaman yang tidak selari dengan polisi perubatan seluruh dunia, adalah wajar tindakan tegas dilakukan. 

Majoriti pakar seluruh dunia tiada masalah pun. Majoriti pakar menyokong apa yang telah diusahakan oleh kerajaan. Tiba-tiba timbul segelintir yang mungkin nak mencari publisiti terus menyanggah tanpa membawa asas pembuktian. 

Ya betul, kumpulan mereka telah buat laporan sebanyak 80 muka surat, tetapi semua data atau fakta yang dikemukakan itu banyak yang sangsi, bersifat andaian, mempercayai konspirasi dan banyak lagi yang di luar disiplin ilmu. Sebenarnya di hujung penghujahan mereka adalah anti-vaksin, menaikkan produk yang mereka perjuangkan. Data dan fakta dari laporan CDC, WHO pula kenapa tidak diambil? 

Sebenarnya mereka sudah ada mental block bahawa WHO, CDC, ahli perubatan seluruh dunia, para agamawan serta cerdik pandai pelbagai bidang seluruh dunia itu adalah tercengkam dalam agenda konspirasi. Sebab itu mereka tidak percaya. Yang betul hanya adalah kumpulan mereka sahaja. Sedangkan mereka sepicing pun tidak terlibat dalam pengurusan wabak penyakit dalam negara-negara yang mereka tinggal.

Bayangkan jika mereka diberi peluang untuk urus wabak di Malaysia, hancur semua sistem kesihatan yang tersedia ada ini. Nauzubillah.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -