
PADA hemat saya, kesilapan utama yang berlaku sewaktu pembentukan Kerajaan Negeri di Perak pada 11 Mac dahulu ialah kerana ketiga-tiga parti parti, iaitu Umno, BERSATU dan PAS, dibenar mencalonkan nama Pengerusi atau Pesuruhjaya Negeri masing-masing sebagai calon Menteri Besar dan menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Perak untuk memutuskan siapa antara mereka yang akan dilantik sebagai Menteri Besar.
Tetapi walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, eloklah jika semua pihak dapat berlapang dada mengakui kekhilafan masing-masing dan cepat-cepat ‘move forward’ meninggalkan episod yang melelahkan ini: Selaras dengan semangat demokrasi, calonlah hanya satu atau beberapa (jika dikehendaki begitu) nama dari parti yang memiliki kerusi terbesar dalam DUN (Umno) sahaja untuk mengelakkan sebarang masalah.
Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno sebelum ini, nyatalah bahawa Umno sebenarnya masih mengharapkan supaya kerajaan sebelum ini dikekalkan tetapi hanya dengan mengubah Menteri Besarnya sahaja, oleh itu usahlah dibuang masa yang berharga ini dengan permasalahan di Perak yang sebenarnya bukanlah besar pun, sebaliknya fokuslah kepada permasalahan negara yang jauh lebih utama.
Masa sama, disebabkan DAP, PAN dan PKR kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno, maka wajarlah pemimpin-pemimpin mereka diberikan ruang untuk mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya hala tuju mereka sendiri sama ada mahu terus kekal dengan agenda perpaduan ummah berteraskan Melayu Islam atau mahu mencuba membentuk jajaran politik baru. Usahlah berterusan berpolemik kerana pastilah ada hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa ini.
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 7/12/2020
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.




















