Kelompok antivaksin tidak jujur dalam maklumat

- Advertisement -

ADA lagi geng antivaksin tak puas hati dengan program forum imunisasi di Pondok Pak Teh Pengkalan Hulu Februari 2019 lalu. Depa duduk viralkan komen Tuan Guru Ahmad Ruzaini di akhir slot tersebut (Semoga Allah merahmati beliau dan juga saya). 

Kebanyakan persoalan sudah saya berikan penjelasan dalam seluruh sesi awal forum tersebut. Cuma mereka lebih suka sekerat video bahagian Tuan Guru sahaja. Biasalah kerja begitu memang kemahiran antivaksin.

Pengacara majlis pada hari tersebut menghubungi saya dan kami berbincang agak panjang. Sehingga akhirnya beliau menyampaikan permohonan maaf dari pihak Tuan Guru sendiri dengan apa yang berlaku. Saya pun tiada perseteruan dengan yang mulia Tuan Guru. Kehadiran saya pada majlis tersebut adalah atas jemputan dari Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjadi salah seorang dari ahli panel. Sebagai adat bertetamu di tempat orang, saya tidak mahu berjidal lanjut. Hasrat yang dikehendaki oleh pihak penganjur sudah pun tercapai. Alhamdulillah.

- Advertisement -

Namun sayugia saya coretkan semula di sini beberapa cadangan saya:

Apa kata pihak terbabit buat satu kertas kerja berserta dengan hujah-hujah yang menyokong dan bawakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terutama isu yang dipertikai itu. Bab fatwa yang Tuan Guru sebutkan itu bukan bidang saya untuk perjelaskan.

Cuma seperti yang saya sebut dalam forum itu, keputusan hukum sama ada Mufti atau majlis fatwa bukan dibuat secara individu. Mereka keluarkan sesuatu fatwa setelah bincang lebar oleh pakar-pakar dan bukan Mufti secara solo atau ifradi yang buat keputusan. Hasil dari pembentangan para pakar semua bidang sama ada perubatan mahupun agama, ahli majlis fatwa bersidang untuk tentukan hukum. Bukan perkara mudah. Bukan juga melihat kepada satu dua kitab sahaja. Bukan juga seorang individu yang menentukannya. Mereka mengambil konsensus secara jamai. Itulah ijtihad mereka yang faqih dalam agama.

Penerangan saya melalui PowerPoint yang dipaparkan itu pun saya memetik langsung dari Majlis Fatwa, bukan huraian dari saya sendiri pun. 

Saya juga beri contoh tokoh agamawan dan fakih dalam ilmu mereka seperti Tuan Guru Dr Harun Din, Tuan Guru Hj Abdul Hadi, Dato Dr Zulkifly Muda, Mufti Terengganu, mereka semua menyokong vaksin malah mengarahkan kaum kerabat mereka cucuk vaksin. Adakah kefahaman dan ilmu mereka tidak tinggi? Adakah mereka juga boleh dituduh ejen Yahudi dan bodoh kerana sokong vaksin? Astaghfirullah. Saya berlepas diri. 

Lihat pula koleksi kenyataan tokoh-tokoh agama dan Mufti yang pernah dikeluarkan. Sila baca dengan hadam. Melihat balik beberapa kenyataan dari para agamawan sebelum dari ini, nada dan syor mereka adalah selari. Kenyataan ini bukan dari saya, tetapi beberapa Sahibussamahah para Mufti.

(1) Kenyataan dari Mufti Perak, SS Tan Sri Harussani Zakaria, yang juga ahli Majlis fatwa Kebangsaan: “Ibu bapa yang sengaja menolak untuk bayi mereka disuntik vaksin sehingga menyebabkan anak menghadapi risiko penyakit adalah berdosa.” [3- Berita Harian 26 April 2016]

(2) Kenyataan dari Mufti Perlis, SS Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin: “Ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.” [4- New Strait Times 24 Jun 2016]

(3) Kenyataan Mufti Kelantan SS Datuk Mohamad Shukri Mohamad: “Vaksin wajib diambil demi memastikan kesihatan ummah berada dalam keadaan yang baik dan terkawal kerana penularan penyakit boleh dielakkan menerusi pengambilan imunisasi sesuatu penyakit.”[5- Utusan Online 27 Jun 2016]

(4) Kenyataan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Mufti, SS Dato’ Dr Zulkifly Muda, pada 29 Jun 2016 telah membuat keputusan bahawa: “Kanak-kanak di negeri ini wajib mendapatkan suntikan vaksin untuk membendung serangan penyakit dan menyebabkan masalah kesihatan yang teruk termasuk kematian.”[6- MStar Online 5 Julai 2016]

Justeru siapalah kita yang kerdil ini. Saya hanya menerangkan segala ilmu yang telah pun diulas oleh para alim ulamak. 

Pandangan dan pertembungan khilaf ilmu ini perlu dimurnikan di kalangan sesama Asatizah. Jika perlu, bersemuka dan duduk berbincang tanpa menambahkan perseteruan di media sosial. Jika Majlis Fatwa atau kerajaan telah tetapkan sesuatu, terimalah ia. Bukankah melakukan apa yang putuskan oleh kerajaan itu juga adalah salah satu dari cabang syariat?

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

“Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahat terhadap rakyat.” 

(Lihat al-Asybah wa al-Nazair, halaman 121)

Begitu juga dengan kaedah fekah:

للإمام تقييد بعض الحريات في حدود تصرفاته حفظا للمصلحة العامة

“Pemerintah berhak menghadkan sebahagian kebebasan rakyat dalam skop bidangkuasanya untuk menjaga maslahah awam.”

Para ulamak menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahatdan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Saya amat hormati semua pandangan Tuan Guru yang pernah saya berbincang dalam bab ini. Sebab itu semasa sesi forum itu saya tidak menjawab ulasan akhir selepas Tuan Guru Ahmad Ruzaini berucap. 

Saya cuma buat kesimpulan jika para Asatizah tidak setuju dengan keputusan Majlis Fatwa atau mana-mana Mufti, sila duduk berbincang dalam majlis yang lebih tersusun sesama mereka, bukannya forum terbuka atau media sosial yang banyak fitnah kerana boleh menjatuhkan muruah. Disiplin perbincangan Ilmu yang para ulamak harus dipegang.

Astaghfirullahal Azim. 

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 6/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -