
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman menzahirkan kesyukuran berikutan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar setelah lebih suara menyokong.
Dalam masa yang sama, beliau menyambut baik beberapa inisiatif baharu yang dibentangkan dalam penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Khamis lepas.
“Dalam penggulungan, Menteri Kewangan mengumumkan beberapa inisiatif baharu hasil pandangan dan cadangan daripada perbahasan Ahli-ahli Parlimen.
“Beliau (Zafrul) juga mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dengan tidak mengenepikan kepentingan negara dan kedudukan kewangan,” katanya kepada Harakahdaily semalam.
Meskipun begitu, terdapat cubaan untuk menolak belanjawan ini dengan 13 orang Ahli Parlimen pembangkang bangkit apabila adanya usul undian belah bahagi dibuat oleh Mahfuz Omar [PH-Pokok Sena].
“Walaupun Pokok Sena (Mahfuz) bangun mengemukakan usul agar pengundian dibuat secara belah bahagi, iaitu undian setiap orang mengikut kehadiran ahli Parlimen di dalam dewan, hanya 13 orang ahli Parlimen bangun menyokong usul tersebut.
“Ini bermakna usul Pokok Sena tidak berjaya kerana usul belah bahagi mesti sekurang-kurangnya 15 Ahli Dewan Rakyat bangun di tempat duduk masing-masing menyokong usul tersebut.
“Alhamdulillah cubaan menolak bajet pada kali ini tidak berjaya,” katanya.
Justeru, katanya rakyat sudah boleh menilai siapakah pengkhianat yang cuba menggagalkan agenda kerajaan untuk membantu rakyat terutama dalam krisis pandemik Covid-19 kini. – HARAKAHDAILY 27/11/2020




















