Israel bakal berdepan tindak balas ‘yang tak dapat dibayangkan’ – Iran

Hossein Salami (FOTO: Middle East Monitor)
- Advertisement -

TEHRAN: Iran mengeluarkan amaran keras bahawa Israel akan berdepan dengan tindak balas ‘tidak dapat dibayangkan’ susulan serangan negara haram itu ke atas negara Republik Islam itu pada minggu lalu.

Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Salami dalam kenyataannya berkata, Israel telah gagal mencapai matlamatnya dalam serangan udaranya pada Sabtu lalu, sambil melabelkannya sebagai tanda ‘salah perhitungan dan tidak berdaya’, lapor Al Arabiya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindak balas ‘yang tidak dapat dibayangkan’ itu adalah ketika negara haram itu masih memerangi kumpulan pejuang bersekutu Iran di Semenanjung Gaza dan Lubnan.

- Advertisement -

Hossein membuat kenyataan itu menerusi suratnya kepada Panglima Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi.

Dalam surat itu, beliau mengucapkan takziah kepada Mousavi atas kesyahidan empat anggota pasukan tenteranya dalam pencerobohan dan serangan Israel baru-baru ini terhadap Iran.

“Saya mengucapkan takziah kepada anda, komander dan kakitangan tentera yang berani serta keluarga terhormat syuhada.

“Tindakan tidak sah dan haram rejim pengganas Zionis membunuh kanak-kanak yang gagal kerana kesediaan pertahanan udara Iran, menunjukkan (Israel) salah perhitungan dan ketidakberdayaan Tel Aviv di medan perang,” katanya menerusi surat itu.

Pangkalan Pertahanan Udara Iran dalam satu kenyataannya pada Sabtu berkata bahawa sistem pertahanan udara negara itu berjaya menangkis serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Israel.

Menurut kenyataan itu, pertahanan udara Iran telah memintas dan berjaya menghadapi serangan Israel, sambil menambah bahawa terdapat beberapa kerosakan terhad disebabkan serangan itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/10/2024