
VIENNA: Parti berhaluan kanan, Parti Kebebasan Austria (FPO) memperoleh kemenangan pertamanya dalam pilihan raya umum (PRU) negara itu pada Ahad, sekaligus menggambarkan peningkatan sokongan kepada parti-parti sayap kanan di Eropah yang didorong oleh kebimbangan terhadap tahap keselamatan imigresen.
Unjuran awal menunjukkan FPO yang dipimpin oleh Herbert Kickl telah memperoleh sebanyak 28.8 peratus undian, lebih dua mata di hadapan Parti Rakyat Austria (OVP) pimpinan Canselor, Karl Nehammer yang memperoleh 26.3 peratus undian, lapor BBC.
Kemenangan FPO merupakan yang terbaru dalam rentetan kejayaan pilihan raya sayap kanan di Eropah, di mana Kickl memuji pengundi negara itu di atas ‘optimisme, keberanian dan kepercayaan’ mereka dalam menyampaikan ‘secebis sejarah’.
“Kami telah mencipta sejarah Austria kerana ini kali pertama Parti Kebebasan menjadi nombor satu dalam pilihan raya parlimen, dan anda perlu fikir sejauh mana kami telah melangkah,” katanya ketika memberikan ucapan kemenangan parti itu selepas ianya ditubuhkan pada 1956.
Kemenangan parti pimpinan Kickl itu didorong oleh parti-parti sayap kanan di Eropah yang telah meraih kemenangan di negara termasuk Belanda, Perancis dan Jerman.
Sokongan yang semakin meningkat itu bagaimanapun dilihat boleh mencetuskan risiko perpecahan dalam Kesatuan Eropah (EU) mengenai bidang dasar utamanya seperti pertahanan Ukraine terhadap Rusia.
FPO dalam pada itu telah berusaha untuk menyederhanakan imejnya dan meluaskan daya tarikannya, tetapi Kickl dilihat kekal sebagai tokoh yang provokatif dan polarisasi, sama sekali tidak disukai oleh pemimpin parti lain yang serta-merta bersatu menolak untuk membentuk gabungan dengannya.
Jika Kickl tidak dapat membawa parti lain untuk membentuk gabungan dengan partinya, ia boleh menamatkan harapan FPO untuk membentuk kerajaan dan membuka pintu kepada gabungan parti yang lebih sederhana.
FPO sebelum ini pernah berada dalam gabungan kerajaan selepas menyertai gabungan bersama OVP dan Parti Demokrasi Sosial Austria (SPO), tetapi OVP yang memperoleh tempat kedua dalam pilihan raya lalu dilihat enggan mengambil bahagian dalam kerajaan pimpinan Kickl.
Karl Nehammer yang merupakan seteru utama Kickl berkata adalah mustahil untuk partinya membentuk kerajaan dengan seseorang yang memuja teori konspirasi. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/9/2024




















